66 peratus ahli baharu UMNO adalah orang muda

66 peratus ahli baharu UMNO adalah orang muda

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KUALA LUMPUR: Lebih 60 peratus ahli baharu UMNO yang mendaftarkan diri sejak Januari tahun ini adalah golongan yang berumur antara 18 tahun hingga 30 tahun. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sayap Puteri UMNO juga mencatatkan pertambahan ahli yang membanggakan. 

“Suka saya menarik perhatian semua adalah daripada jumlah keahlian baru yang mendaftar pada tahun ini, sebanyak 8,876 orang atau 66 peratus adalah mereka yang berusia 18 hingga 30 tahun.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO atas pertambahan keahlian seramai 4,957 orang ahli baru. 

“Ini merupakan satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendokongnya, masih ramai yang ingin turut serta dan UMNO parti yang sentiasa terbuka,” katanya dalam ucapan Laporan Setiausaha Agung UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023. 

Perhimpunan Agung UMNO 2023 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula 7 sehingga 10 Jun 2023.

Menjadi fokus hari ini adalah perhimpunan itu akan diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga berkata sehingga 6 Jun 2023, UMNO mencatatkan 3,442,280 orang ahli merangkumi 22,125 cawangan dari 191 bahagian di seluruh negara termasuk Sabah. 

“Untuk tahun ini sahaja, penambahan keahlian baru dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023, adalah seramai 13,442 orang meskipun acapkali UMNO dilabelkan sebagai sebuah parti pilihan ketiga, tidak popular serta tidak diterima oleh anak muda,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN