SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah pulih selepas dilanda polemik melibatkan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin apabila kembali mendapat penyertaan ahli dan rakyat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pimpinan sudah mengambil tindakan cepat selepas beberapa bahagian terkesan dengan polemik tersebut yang menyaksikan tindakan keluar parti.
Menurut beliau, sokongan kuat daripada rakyat dan akar umbi menandakan Bersatu sudah berjaya melepasi ujian tersebut.
“Sebagai presiden pengasas, tindakan-tindakan yang pantas dan cepat telah diambil oleh barisan pimpinan untuk memperbaiki serta menyusun semula di setengah-setengah tempat yang terkesan.
“Alhamdulillah Bersatu sudah dilihat pulih, kita mengadakan beberapa majlis yang agak bermakna seperti sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, di mana menerima sambutan bukan sahaja daripada ahli tetapi rakyat juga,” katanya di Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, Bersatu mempunyai seramai 61 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 31 ahli Parlimen sekiranya masalah melibatkan Hamzah tidak berlaku.
“Dalam kalangan parti-parti politik di Malaysia, ini tidak pernah dicapai oleh mereka berbanding dengan apa yang telahpun dicapai oleh Bersatu. Ini satu kejayaan besar bagi kita,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat tanpa mengira kaum kini sedang terbeban dengan kos sara hidup dan menanti parti atau gabungan politik baharu yang akan mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Muhyiddin berkata, semua rakyat mahukan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi mereka dan mengurangkan kos sara hidup.
“Rakyat dalam situasi dan keadaan yang kita lihat pada hari ini sedang menunggu siapa dan kumpulan mana atau gabungan parti politik mana yang mereka yakin dan percaya boleh membantu menyelesaikan masalah
“Ataupun setidak-tidaknya mengurangkan masalah mereka, hari ini yang mereka lihat ialah pakatan pembangkang iaitu Bersatu dan Perikatan nasional (PN),” katanya.-UTUSAN










