Kes Albert Tei: Mahkamah tunggu baki serahan dokumen

Kes Albert Tei: Mahkamah tunggu baki serahan dokumen

ALBERT Tei ketika hadir bagi sebutan kes memberi suapan berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyata akaun bank antara 38 dokumen berkait kes rasuah melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei yang diserahkan kepada pihak pembelaan semasa prosiding kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Esther Jacyntha memaklumkan, pihaknya masih memerlukan satu tarikh lain bagi serahan baki dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

“Dokumen telah diserahkan kepada tertuduh sendiri pada pagi tadi dan bagi kes ini, masih ada sebahagian dokumen lagi yang perlu diserahkan. Jadi, pendakwaan memohon satu tarikh sebutan untuk serahan dokumen,” katanya.

Esther turut menyatakan, pihak pendakwaan berhasrat agar kes melibatkan Albert dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dibicarakan bersama.

Pada prosiding hari ini, peguam bela, Mahajoth Singh yang mewakili Albert mengesahkan pihaknya telah menerima 38 dokumen tersebut selaras Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi tarikh akhir serahan dokumen pada 24 Julai depan.

Sebelum ini, ahli perniagaan berusia 38 tahun itu didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah keseluruhan RM176,829.03 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.

Suapan itu diberikan kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkait tertuduh memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Albert juga berdepan dakwaan memberi suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, kepada Shamsul Iskandar.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN