43,959 scammer ditahan

43,959 scammer ditahan

Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian mengikut kategori. - GRAFIK UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 43,959 scammer telah ditahan atas pelbagai kesalahan penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM2.6 bilion sepanjang tempoh 2019 hingga Mei 2023.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 30,065 telah didakwa atas jenayah yang dilakukan.

Ini adalah hasil pendekatan agresif yang diambil kerajaan untuk mengatasi peni­puan dalam talian, malah pihak bank juga menyediakan inisiatif bagi menjamin keselamatan pengguna.

Tangkapan itu adalah hasil siasatan membabitkan 81,692 kes sepanjang tempoh tersebut.

Semua kes ini membabitkan jenayah scam belian dalam talian sebanyak 33,073 kes, pinjaman tidak wujud (20,360 kes), love scam (5,761 kes) dan phone scam (10,925 kes).

“Penipuan pelaburan 10,718 kes, business email compromise 207 kes, tipu menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) adalah 648 kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 81,692 kes.

“Jumlah kerugian scam belian dalam RM365 juta, pinjaman tidak wujud RM210 juta, love scam RM268 juta, phone scam RM637 juta, scam pelaburan RM984 juta, business email scam RM134 juta, dan tipu SMS RM7.5 juta.

“Jumlahnya adalah RM2.6 bilion penipuan kerugian jenayah atas talian bagi tahun yang dinyatakan. Ini adalah perkara yang serius dan kita akan melaksanakan apa yang patut. Antaranya penangkapan 43,959 individu sudah ditangkap dan sebanyak 30,065 dibawa ke mahkamah atas pertuduhan jenayah itu,” kata Timbalan Menteri Kewa­ngan, Datuk Seri Ahmad Maslan .

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd. Hatta Ramli di Dewan Negara, semalam.

Terdahulu, Mohd. Hatta dalam soalan tambahan minta Kementerian Kewangan menjelaskan apakah perancangan dalam melaksa­nakan pendidikan pengurusan kewangan kepada anak-anak muda yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Jelas Ahmad, ke­rajaan menu­buhkan pusat pencegahan jenayah kewangan bagi memben­dung jenayah penipuan dalam talian.

“Rakyat boleh mene­lefon 997, nanti akan dijawab dan pemanggil boleh beritahu masalah dan beri segala maklumat yang relevan.

“Kita juga te­lah mengambil langkah pen­cegahan peralihan perantaraan kata laluan, kemudian bank telah mengenalkan kill switch, membolehkan pelanggan membekukan akaun dengan segera,” ujarnya.

Jenayah penipuan dalam talian di negara ini tidak pernah sunyi daripada aduan mangsa, malah pelbagai pihak telah menyuarakan panda­ngan untuk mengekang aktiviti berkenaan termasuk mengembalikan semula Pasukan Elit Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG).

Malah, turut dicadangkan agar Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Pe­risikan Narkotik (STING) yang dibubarkan pada 2019 juga harus dikembalikan fungsinya bagi menggerunkan penjenayah.

Selain itu, kerajaan juga diminta menimbang untuk mewujudkan Akta Anti Scam ekoran undang-undang sedia ada dilihat tidak berkesan bagi membanteras jenayah penipuan.

Dalam laporan Utusan Malaysia sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dipetik sebagai berkata, satu undang-undang pencegahan khas perlu dilaksanakan ekoran jenayah penipuan atau ‘scam’ kini semakin bermaharajalela.

“Kita lihat Seksyen 415 Kanun Keseksaan (KK) Seksyen 420 KK yang digunakan untuk jenayah penipuan tidak berkesan malah ‘scammer’ kini seakan tidak takut menipu dan berani untuk menipu mangsa demi mengaut lebih banyak duit.

“Kita sudah ada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi membanteras penyeludupan manusia jadi satu undang-undang yang lebih tegas perlu diwujudkan bagi mena­ngani jenayah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN