3,214 hektar tanah rizab Melayu Perak diselamatkan - Utusan Malaysia

3,214 hektar tanah rizab Melayu Perak diselamatkan

Isu tanah rizab Melayu di Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak melakukan kaveat dan memantau transaksi ke atas 3,214 hektar tanah rizab Melayu di negeri itu bagi menyelamatkan tanah-tanah yang ‘terlepas’ kepada bukan Melayu sebelum ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah PTG, Datuk Mohamad Fariz Mohamad berkata, sebagai langkah segera bagi menghalang transaksi oleh bukan Melayu dalam tanah rizab Melayu di negeri itu, pihaknya telah melakukan sekatan kaveat serta pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti membabitkan tanah-tanah rizab Melayu.

“Di peringkat sekarang ini, kita memasukkan kaveat bertujuan untuk mengelakkan sebarang transaksi dalam Lot 16684 dan Lot 15727 yang melibatkan individu bukan Melayu, hanya akan dibenarkan kepada Me­layu. Itu yang pertama.

“Perkara kedua, bagi mana-mana pembangunan yang berlaku dalam lot-lot tersebut untuk tujuan skim perumahan hanya dibenarkan penjualan­nya kepada orang Melayu,” kata beliau.

Mohamad Fariz berkata, dalam kes membabitkan tanah rizab Melayu seluas 3,214 hektar yang sebelum ini dipindah milik kepada bukan Melayu, pihaknya sedang menjalan pemantauan rapi bagi setiap hak milik tanah-tanah tersebut agar tidak lagi terlepas kepada bukan Melayu.

TANAH RIZAB

Malah katanya, PTG sedang menyegerakan pindah milik tanah rizab Melayu kepada orang Melayu yang sebelum ini dimiliki bukan Melayu.

“Untuk kes melibatkan pindah milik lot (seluas) 3,214 (hektar), kita akan memantau secara terperinci setiap hak milik tanah tersebut supaya tidak lagi terlepas kepada bukan Melayu.

“Untuk menyegerakan pindah milik daripada bukan Melayu kepada orang Melayu, pertama kalau kita mahu bawa ke mahkamah, kami kena dapatkan ulasan daripada pihak lain terlebih dahulu. Kedua, kita sedang mencari jalan kalau ada alternatif lain,” tegasnya.

Pada 24 Januari 2021, Ming­guan Malaysia kali mendedahkan penyelewe­ngan ke atas 650 hektar tanah rizab Melayu di Sitiawan, Perak dalam laporan berjudul Bumi dipijak milik orang.

Laporan itu mendedahkan penyelewengan tanah rizab Melayu membabitkan keluasan 649.2 hek­tar di mukim Sitiawan, yang meng­akibatkan tanah rizab Melayu di situ dipecah kepada 317 lot kecil dan bertukar hak milik kepada bukan Melayu.

Setelah pelbagai pendedahan dibuat, akhirnya pada 28 September 2021, Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri, mengesahkan salah laku ke atas 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Perak termasuk tanah rizab Melayu di Sitiawan seperti dilaporkan akhbar ini.

HILANG

Laporan JAN yang turut didedahkan Utusan Malaysia bertarikh 2 Januari, 2023 berjudul Sah lebih 3000 hektar tanah rizab Melayu ‘hilang’, mengesahkan wujud salah laku membabitkan pendaftaran pindah milik sehingga tanah rizab Melayu di Perak dimiliki bukan Melayu walaupun hak mil­ik asal adalah pegangan Melayu.

Mengulas lanjut, Mohamad Fariz berkata, semua sekatan kaveat telah dirunding de­ngan pihak syarikat yang membangunkan tanah rizab Melayu itu.

“(Ia juga) telahpun kita (PTG) rundingi dengan peguam bagi mereka. Ini termasuk bahawa urusan ke hadapan sudah tidak boleh lagi kepada bukan Melayu,” katanya.

Sementara itu, ahli pasukan forensik tanah rizab Melayu Perak, Hamizura Osman yang dihubungi menyambut baik usaha kerajaan negeri menyelamatkan tanah rizab Melayu di Perak.

“Kaveat ini dilakukan oleh PTG untuk menghalang sebarang urus niaga ke atas tanah. Apa-apa urus niaga setelah tanah dikaveat sudah tak boleh dilakukan, maknanya kalau mahu jual-beli tanah atau tukar nama, sudah tidak boleh dibuat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×