SEREMBAN: Sebanyak 100 buah projek perumahan swasta dalam kategori sakit di seluruh negara telah berjaya dipulihkan di bawah Task Force (pasukan petugas) Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sehingga 30 April lalu.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kesemua projek berkenaan termasuk sembilan projek PR1MA telah pun menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).
Katanya, sebanyak 18 projek sakit lagi dipantau sehingga kembali mengikut jadual pembinaan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 118 projek berjaya dipulihkan.
“Sebelum ini, di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ada 17 buah projek sakit tetapi bersyukur setakat hari ini sudah sembilan projek telah berjaya kita selamatkan dan serahkan kunci kepada pembeli. Bakinya menjelang akhir tahun hadapan ia akan disiapkan semuanya dan tiada lagi projek sakit di bawah PR1MA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Kunci Residensi Seremban Sentral di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.
Kor Ming dalam pada itu berkata, Residensi Seremban Sentral merupakan salah satu daripada projek dibangunkan oleh PR1MA yang dikategorikan sebagai projek sakit sebelum ini.
“Projek Residensi Seremban Sentral yang dibangunkan PR1MA telah menerima CCC pada 31 Mei lalu daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS). Penyiapan projek (CCC) ini adalah selari dengan baru-baru ini, bahawa Residensi Seremban Sentral sedia untuk diduduki bermula Jun tahun ini.
“Lanjutan itu, penyerahan Notis Milikan Kosong (VP) telah diberikan pada 7 Jun 2023 dan seterusnya proses penyerahan kunci akan bermula pada hari ini,” katanya.
Projek Residensi Seremban Sentral terdiri daripada 1,504 unit apartmen di mana sebanyak 890 unit atau 59 peratus daripadanya sudah terjual setakat 31 Mei lalu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, dua lagi projek PR1MA di negeri ini yang sedang dibangunkan iaitu Residensi Rantau dan Residensi Port Dickson yang melibatkan sebanyak 1,425 unit rumah mampu milik dijangka akan disiapkan pada suku keempat tahun ini.
Sementara itu, Siew Fook memberitahu, Projek Residensi Seremban Sentral adalah sebahagian daripada cadangan Pembangunan Seremban Sentral yang bermatlamat untuk menerapkan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bagi memastikan keperluan pelbagai golongan masyarakat di bandar Seremban dapat dipenuhi.
“Residensi Seremban Sentral merupakan fasa pertama manakala fasa kedua akan mengandungi pembangunan bercampur. Konsep TOD yang bakal dibangunkan di kawasan ini akan menghimpunkan komponen-komponen seperti blok-blok kediaman termasuk rumah mampu milik, pejabat, hotel, institusi, hub pengangkutan awam.
“Ia memandangkan Stesen KTM Seremban telah menjadi lokasi utama untuk orang ramai mengakses kepada pengangkutan awam, kemudahan dan infrastruktur lain-lain yang akan dimuktamadkan kelak,” katanya.-UTUSAN.










