PETALING JAYA: Keberadaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dikatakan lebih banyak mengundang masalah isu kemasukan pendatang asing ke Malaysia ekoran dakwaan wujud ketirisan kesan daripada kawal selia yang lemah.
Difahamkan, terdapat penipuan warga Bangladesh di negara ini yang menyamar sebagai etnik Rohingya di Myanmar bagi mendapatkan kad pelarian UNHCR dan berselindung sebagai pencari suaka politik di Malaysia sedangkan Bangladesh bukanlah negara bergolak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, masalah tersebut menyebabkan ia mudah dieksploitasi oleh individu atau kumpulan pendatang asing yang mahu menetap di negara ini dan menyamar sebagai mangsa perang.
“Sebagai contoh terdapat warga Bangladesh di negara ini yang menyamar sebagai etnik Rohingya di Myanmar bagi mendapatkan kad pelarian UNHCR dan berselindung sebagai pencari suaka politik di Malaysia sedangkan Bangladesh bukanlah negara bergolak.
“Sejauh mana peranan UNHCR untuk menyelesaikan masalah pelarian di Malaysia? Mereka hanya mendaftarkan (pelarian) sahaja. UNHCR ini, tidak kira warga negara mana pun yang mendaftar, mereka akan diterima.
“Sepatutnya, mereka haruslah datang dari negara yang berlaku pergolakan barulah boleh diisytihar sebagai pelarian,” katanya di sini, semalam.
Untuk rekod, Malaysia langsung tidak ada data mengenai pelarian, malah tiada mekanisme penyusunan yang mengakibatkan sukar mengesan kes jenayah dan penjenayah dalam kalangan kumpulan itu.
Akhbar ini difahamkan, jenis data pelarian setakat Januari, 2022 yang ada hanyalah jumlah pelarian yang diperoleh melalui UNHCR seramai 187,000 malah ketiadaan data seperti biometrik ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mengawal kegiatan kumpulan tersebut.
Satu sumber sebuah agensi keselamatan yang ditemui Utusan Malaysia mendedahkan, kerajaan tiada data seperti biometrik dan sebagainya bagi mengenal pasti maklumat latar belakang, lokasi tempat tinggal dan rekod perkahwinan warga asing dan pelarian di negara ini.
Mengulas peranan UNHCR di negara ini, Shahul Hamid berkata, badan itu gagal melakukan tapisan terhadap pemohon suaka sehingga ramai yang mengambil kesempatan mendapatkan kad pelarian.
“Sepatutnya data UNHCR mengenai pelarian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disemak sama ada mereka betul-betul pelarian atau menyamar warganegara yang mengalami peperangan,” katanya.
Masalah lambakan warga asing di Malaysia sebelum ini mendapat perhatian serius kerajaan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Oktober 2022 mencadangkan pejabat UNHCR ditutup bagi membolehkan Putrajaya mengurusnya tanpa ‘gangguan luar.’
Dalam pada itu, sumber keselamatan yang ditemui berkata, ketiadaan data lengkap pelarian di negara ini mengakibatkan kerajaan sukar mengawal selia kumpulan tersebut, mendorong berleluasanya sistem ‘ekonomi gelap’ apabila setiap transaksi antara pelarian tidak mempunyai jejak wang dan rekod pembelian yang menyukarkan pengesanan dibuat pihak berkuasa.
“Sukar kita hendak menguruskan mereka dengan sewajarnya, sepatutnya pelarian tidak boleh bekerja. Tapi memandangkan atas tuntutan survival, mereka terpaksa bekerja.
“Mungkin kerja yang tiada penyata gaji. Maka pendapatan yang mereka terima, mereka terpaksa simpan sendiri di rumah, sebab mereka tiada akaun bank dan tiada dokumen. Jadi potensi untuk berlakunya ekonomi gelap ini sangat besar,” jelas sumber.
Antara aktiviti yang berpotensi wujud, katanya, termasuk pemerdagangan manusia, perjudian dan pengedaran dadah. – UTUSAN










