KUALA LUMPUR: Pertukaran tiga Menteri Belia dan Sukan sepanjang empat tahun lalu didakwa antara punca dasar-dasar sukan negara menjadi tidak menentu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kesannya peruntukan yang sepatutnya diguna untuk keperluan atlet negara juga terjejas.
Katanya, pertukaran itu melibatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadi menteri selama 20 bulan sebelum Langkah Sheraton, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (18 bulan) manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkhidmat 16 bulan.
Jelas Hannah, dalam butiran Bajet 2022 yang dibentang pada Oktober 2021, tidak ada yang menyatakan kerajaan memberi peruntukan untuk program Podium 2022 sehingga menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan pertama 2022.
“Antaranya Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel, Sukan Birmingham dan Sukan Asia di China untuk tahun ini. Kesannya, seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khusus diberi untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah podium.
“Pada masa sama, MSN terpaksa mengagih dan menggunakan dana dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan untuk tidak menjejaskan prestasi atlet dalam latihan.
“Dalam empat tahun dan menteri juga bertukar-bertukar, ada penukaran ahli lembaga pengarah lagi, bajet juga dan fokus kementerian terjejas,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri,semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari [Pas-Pasir Mas] yang meminta Hannah menjelaskan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk Malaysia di Sukan SEA di Kemboja 2023.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, keadaan semakin berlarutan untuk Januari hingga Februari 2022 yang mana kementerian mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan podium dan ia dipersetujui di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Setiap kali ada perubahan seperti ini, apabila ada elaun tertangguh dan gaji jurulatih tertangguh kerana bajet ini tiada dan memberi kesan pada latihan mereka. Ada yang perlu ke luar negara.
“Saya ada berbincang dengan atlet. Benar, dalam empat tahun ini menteri kita sibuk berpolitik dan negara jiran kita maju ke hadapan. Saya boleh sahaja meletakkan semua beban jawapan dan alasan pada persatuan sukan kebangsaan, tetapi, saya percaya ia tindakan tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak kata semua (kegagalan negara) adalah sebab ketidakstabilan politik, tetapi kita mesti mengakui dalam empat tahun ini selepas Langkah Sheraton memang banyak usaha kerajaan lakukan untuk membantu. Namun, ekonomi, pendidikan semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik,” katanya. – UTUSAN










