Tidak perlu panjangkan isu kalimah Allah - Timbalan Mufti Kelantan

Tidak perlu panjangkan isu kalimah Allah – Timbalan Mufti Kelantan

NIK Abdul Kadir Nik Mohamad-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad meminta semua pihak supaya tidak ‘memanjangkan’ isu kalimah Allah yang sedang diperkatakan ketika ini.

 Beliau berkata, perkara tersebut perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan.

“Hal ini kerana perkara itu (kalimah Allah) tidak boleh dipermainkan.

“Jadi saya harap pihak berkenaan dapat mengatasinya dan selaraskan perkara ini supaya semuanya selesai dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Kompleks Balai Islam Lundang,  di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu. 

Utusan Online semalam melaporkan, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Pada masa sama, kata beliau, ia sebagai memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya