Tiada usul undi tidak percaya terhadap PM

Tiada usul undi tidak percaya terhadap PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli ahli Parlimen pembangkang tidak merancang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri menjelang persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 22 Mei ini.

Kata mereka, walaupun ada wakil rakyat kerajaan mencadang pembangkang membuat usul undi tidak percaya itu supaya mengemukakannya sebelum 5 Mei, tetapi usul itu bukan keutamaan pembangkang pada masa ini.

Sebaliknya, pembangkang kini lebih menumpukan kepada usaha dan membuat persiapan rapi untuk menang dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka berlangsung pada Jun atau Julai ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tiada sebarang usul akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Mestilah tiada (usul undi tidak percaya). Kalau ada, takkanlah mahu cerita satu dunia,” katanya berseloroh ketika dihubungi semalam.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad ketika dihubungi pula enggan mengulas sama ada pembangkang akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
“Kena tanya ketua pembangkang,” katanya.

MESEJ

Utusan Malaysia berusaha menghubungi Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun, panggilan telefon tidak dijawab manakala mesej tidak berbalas.

Usul berkenaan juga tidak berada dalam pengetahuan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

“Saya tidak tahu, tiada dalam maklumat saya sebagai ahli Dewan,” katanya.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula musykil usul tersebut akan dikemukakan sebagai salah satu usaha mengguling kerajaan semasa.

“Walaupun saya bukan ahli Parlimen, tetapi perkara ini tidak dibincang dalam barisan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN). Jadi, saya amat me­raguinya.

“Banyak cakap-cakap mahu gulingkan kerajaan tetapi setakat ini kami tumpu kepada pilihan raya negeri sahaja. Kalau ada ahli Parlimen mahu buat usul undi tidak percaya, mesti kami dapat maklumatnya,” katanya.

UJIAN

Pada 19 Disember 2020, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya melepasi ujian pertamanya selepas Dewan Rakyat meluluskan undi percaya terhadap secara undian suara.

Dengan keputusan itu, Anwar kekal sebagai Perdana Menteri, kira-kira tiga minggu selepas mengangkat sumpah jawatan selepas membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak.

Kerajaan pimpinan Anwar kini merupakan kerajaan kuat dan stabil dengan sokongan melebihi dua pertiga iaitu 148 ahli Parlimen.

Media sebelum ini melaporkan kononnya 10 ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin terbabit dalam komplot menggulingkan kerajaan dan mendakwa mereka mahu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Sementara itu, veteran DAP, Lim Kit Siang meminta dua pemimpin PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengisytiharkan parti politik diterajui mereka akan patuh kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan politik negara dijadikan keutamaan.

“Ini mesej yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan baginda ketika pe­rasmian Parlimen ke-15 pada Februari lalu, namun, ia dilihat tidak diikuti sejak tiga bulan lalu.

“Ia satu ujian sama ada pemimpin politik bersedia membelakangkan kepentingan peribadi dan parti politik mereka demi kepentingan negara, sekali gus (Muhyiddin dan Abdul Hadi) tidak terbabit sebarang rancangan menjatuhkan kerajaan untuk lima tahun akan datang,” katanya semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN