Tiada masalah undi calon PH, kukuh kerajaan perpaduan - Hairi - Utusan Malaysia

Tiada masalah undi calon PH, kukuh kerajaan perpaduan – Hairi

MOHD. HAIRI MAD SHAH (tengah) diberi penerangan tentang kegunaan robotik sambil diperhatikan oleh Mohd. Yazid (kiri) pada Majlis Perasmian Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO yakin penyokong parti itu, khususnya dalam kalangan generasi muda tiada masalah mengundi calon Pakatan Harapan (PH) termasuk daripada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri akan datang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, ini kerana generasi muda kini celik politik dan tidak lagi terikat dengan pelbagai sentimen negatif yang dimainkan generasi terdahulu.

Menurutnya, generasi muda termasuk penyokong UMNO kini sedang berdepan dinamika politik baharu ekoran kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH.

“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (mengundi calon DAP). Ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamika baharu.

“Undi memang rahsia tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik. Jadi, biarlah mereka mengundi calon untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan.

“Sentimen yang dimainkan generasi terdahulu seperti Melayu rasis, Cina rasis itu sudah hilang selepas kita bekerjasama. Kini dilihat masing-masing memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggesa penyokong UMNO supaya mengundi calon DAP.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC), Mohd. Yazid Jaafar dan Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Izhar Hifnei Ismail.

Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata, pembangkang (Perikatan Nasional) juga tidak perlu menjadikan perkara tersebut sebagai isu politik.

“Kini, semua parti politik sudah pernah bekerjasama, dahulu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sendiri telah bekerjasama dengan DAP, ketika itu UMNO tidak cakap apa-apa.

“Tapi hari ini, selepas mereka (Bersatu dan Pas) sudah cium mulut, mereka cakap-cakap tentang UMNO dan DAP pula, sedangkan dahulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya