Tiada bakal jemaah Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Tiada bakal jemaah Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Jemaah haji memerlukan stamina yang cukup untuk berjalan kaki dari Maktab Janadriah ke Masjidilharam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Belum terdapat lagi kes mana-mana bakal jemaah haji dari Malaysia yang dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci setakat ini sama ada di Mekah atau Madinah.

Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi Tabung Haji menunjukkan bahawa tidak ada laporan mengenai berita kematian jemaah negara sehingga hari ini.

Malah, akaun sosial rasmi Konsulat Jeneral di Jeddah, Arab Saudi juga tiada menyatakan apa-apa berhubung kes jemaah Malaysia yang meninggal dunia di dua kota suci tersebut.

Sumber Tabung Haji yang dihubungi turut mengesahkan segala perkembangan mengenai situasi jemaah negara ini akan dimaklum oleh agensi berkenaan dari masa ke semasa.

Kelmarin, terdapat seorang bakal jemaah haji dari Indonesia, Suprapto Tarlim Kuntowijoyo dilaporkan Kementerian Agama republik itu menghembuskan nafas terakhir di Madinah.

Allahyarham yang berasal dari Desa Kalisari, Kecamatan Sayung, Demak, Wilayah Jawa Tengah meninggal dunia di Hotel Abraj Taba & Co. setelah mengalami serangan jantung.

Walau bagaimanapun, pihak pemerintah Indonesia akan melaksanakan badal haji atau gantian ibadah itu kepada jemaah tersebut kerana meninggal sebelum wukuf di Arafah.

Dia yang berusia 52 tahun tiba di Madinah pada Rabu lalu dengan isteri dikenali Soejantini, telah selamat disemadikan di perkuburan Baqi selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi.

Musim haji tahun lalu, seramai 83 jemaah haji republik berkenaan disahkan meninggal dan angka itu adalah kecil berbanding sejumlah 341 orang yang direkodkan pada 2019.

Indonesia seperti juga negara lain tidak menghantar jemaah pada 2020 dan 2021 apabila pintu sempadan seluruh dunia ditutup ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Tahun lepas, negara itu hanya menghantar 100,051 jemaah susulan kuota semua negara dihadkan kepada 45 peratus sahaja dengan protokol kesihatan amat ketat di Tanah Suci.

Malaysia pula pada tahun lalu cuma mencatatkan seorang jemaah haji berusia 62 tahun dan berasal dari Kuala Nerang, Kedah yang meninggal dunia di Hospital Raja Faisal, Mekah.

Kes tunggal melibatkan kematian warga emas itu disebabkan oleh jangkitan kuman yang teruk setelah dirujuk oleh pakar kesihatan Tabung Haji dan tiada kaitan dengan Covid-19.

Berdasarkan rekod agensi tersebut, seramai 10 orang jemaah Malaysia meninggal dunia ketika musim haji pada 2019 manakala tahun sebelumnya pula lebih tinggi iaitu 42 orang.

Pada tahun lepas, Malaysia hanya menghantar 14,306 orang jemaah namun untuk tahun ini, kuota rasmi kembali kepada asal dengan 31,600 orang dan tambahan lagi 350 orang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.