Sukhoi, Hornet buka tirai LIMA23 - Utusan Malaysia

Sukhoi, Hornet buka tirai LIMA23

MOHAMAD Hasan, Anthony Loke dan Muhammad Sanusi Md. Nor menyaksikan gimik pembukaan LIMA23 di MIEC, Padang Matsirat di Langkawi semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kegagahan pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM, Hornet F/A18D dan Hawk 108/208 melintasi ruang udara Langkawi menandakan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) bermula secara rasmi semalam.

Aksi pembukaan tirai pame­ran berprestij lima hari sehingga 27 Mei ini dilakukan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Antara aksi pasukan tersebut ialah melakukan aerobatik dan formasi udara yang melintas hadapan delegasi tempatan dan asing yang memenuhi landasan terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Penganjuran LIMA23 bagi edisi ke-16 menghimpunkan 525 pempamer dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain Singapura, Turkiye dan Malaysia.

PESAWAT

LIMA23 dijangka menarik kehadiran 45,000 pelawat perdagangan serta 250,000 pengunjung awam yang melibatkan 119 pesawat dan 40 kapal dari dalam dan luar negara bagi segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL).

Pameran bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Ma­ri­tim dan Aeroangkasa Asia itu turut akan mempersembahkan lima pasukan aerobatik terbaik dunia iaitu Rusia, UAE, Indonesia, China dan Korea Selatan.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia komited untuk meningkatkan keupayaan dalam industri pertahanan me­lalui kerjasama serantau.

Katanya, ia penting ke arah merealisasikan matlamat negara seperti ditetapkan dalam pelan tindakan industri pertahanan dan keselamatan yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

“Pelan tindakan ini, termasuk visi kita untuk Malaysia, adalah bagi menyumbang ke arah keselamatan global melalui pengeluaran perkakasan dan teknologi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan resepsi LIMA23.

Mohamad berkata, penganjuran LIMA yang terbesar setakat ini memberikan ke­terujaan kepadanya untuk menyaksikan bagaimana kerjasama dapat dijalin dalam menjaga keselamatan serantau.

“Dalam tempoh lima hari ini, saya dan rakan sejawat akan mengadakan mesyuarat dua hala yang merupakan satu pencapaian positif untuk mempromosi masa depan lebih kukuh, stabil serta mampan. Bersama-sama, kita mampu mengukuhkan lagi kerjasama pihak berkepentingan dalam industri pertahanan,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, LIMA23 akan menyediakan satu daripada platform antarabangsa terbaik untuk memberikan nafas baharu kepada industri maritim dan aero­angkasa yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkat, LIMA23 adalah platform baik untuk mengembangkan potensi peluang perniagaan dalam industri dengan sinergi yang efektif antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan serta agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×