Suara wanita perlu didengar dalam soal berkaitan mitigasi iklim

Suara wanita perlu didengar dalam soal berkaitan mitigasi iklim

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berucap pada Majlis Perasmian ACWW 30th Triennial World Conference Kuala Lumpur di Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah agar peranan dan suara wanita turut diberi peluang dalam membuat keputusan berkaitan mitigasi iklim.

Baginda bertitah, hal ini kerana golongan wanita dilihat tidak sentiasa terlibat dalam proses membuat keputusan itu.

“Adalah penting untuk memastikan bahawa suara wanita didengar dan mereka terlibat dalam semua peringkat membuat keputusan terutama dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan.

“Selain itu, adalah penting juga untuk memastikan wanita mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan reproduktif dan keperluan kesihatan mereka diambil kira dalam penyesuaian perubahan iklim,” titahnya.

Tengku Hassanal bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kali Ke-30 Associated Country Women Of The World (ACWW) di sini, hari ini.

Turut berangkat sama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Titahnya lagi, dengan menangani impak perubahan iklim khusus jantina, ia boleh mencipta masa depan yang lebih sama dan lestari untuk semua.

“Usaha ini (mengangkat peranan wanita) adalah kerja yang dilakukan (ACWW) di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa serta akan dilakukan dengan baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada masa sama, baginda bertitah, ACWW banyak terbabit dalam aktiviti dan terbabit secara ketara dalam di kawasan yang kerap berlaku bencana alam.

“Penduduk Malaysia dijangka mencecah 38.4 juta menjelang 2050, sekali gus akan meningkatkan tekanan terhadap sumber alam serta perubahan iklim

“Malah, negara kita rumah kepada kawasan hutan hujan tropika ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Republik Congo, namun, penebangan hutan kekal menjadi isu utama dalam negara.

“Difahamkan, anggaran keluasan tanah negara dilindungi hutan adalah sekitar 46 peratus pada 2015 dan ia semakin menurun berbanding 62 peratus pada 1950-an,” titahnya.

Titah Tengku Hassanal lagi, Malaysia sangat mudah terkesan dengan perubahan iklim termasuk kenaikan paras laut, kekerapan cuaca melampau selain perubahan corak hujan.

“Impak ini boleh memberi kesan ketara kepada ekonomi negara terutama sektor pertanian dan pelancongan, namun belum terlambat untuk mengambil tindakan.

“Amalan pengurusan sumber alam secara lestari perlu dilaksanakan segera dalam usaha untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan memelihara bumi untuk generasi akan datang,” titahnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya