Isu kalimah Allah: Anwar tegaskan boleh beri pandangan tetapi jangan fitnah - Utusan Malaysia

Isu kalimah Allah: Anwar tegaskan boleh beri pandangan tetapi jangan fitnah

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap ketika lawatan beliau ke SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pandangan mengenai keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau tidak mempunyai masalah berhubung teguran dan pandangan yang diberikan sesetengah pihak dalam isu tersebut namun menegaskan ia mestilah bukan fitnah dan perlu bersandarkan fakta yang tepat.

Kata beliau, fakta yang sebenarnya ketika ini adalah, dasar kerajaan dalam isu penggunaan kalimah Allah adalah tidak berubah sejak tahun 1986.

“Kita bergelut lagi dengan isu kalimah Allah, apa perbezaannya? tiada perbezaan, keputusan kerajaan sejak tahun 1986 dan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu walaupun ada pandangan berbeza tetapi keputusannya ialah bahawa kalimah Allah itu hanya digunakan dalam masyarakat islam dan tidak oleh bukan orang Islam, tetapi untuk Sabah dan Sarawak diputuskan ia membolehkan.

“Ini keputusan sejak tahun 1986 dan diperakui dan diperkenankan oleh Raja-raja, sebab itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya menghubungi Yang di-Pertuan Agong, saya maklumkan jemaah menteri buat keputusan peraku yang ada dan tidak ubah.

“Tetapi mahu perkemaskan beberapa isu supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah dan sebagainya, kami akan usulkan beberapa cadangan memperkemas keputusan itu dan Yang di-Pertuan Agong perkenan dan kami akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar menambah, sekiranya isu kerajaan untuk menarik balik rayuan tersebut yang menimbulkan pertikaian, jelasnya ia juga melibatkan keputusan yang telah dimuktamadkan sejak tahun 1986 iaitu berkenaan pengunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.

“Kalau kita sebagai kerajaan sudah tahu salah, bagaimana kerajaan mahu rayu, adakah dengan ini kita mengaku kalah? tidak, sebab keputusan tidak boleh menukar dasar yang ditetapkan. Ini penting kita boleh tegur, beri pandangan tetapi jangan fitnah mesti guna fakta, faktanya yang diputuskan dalam Jemaah Menteri, tidak ada pertukaran sama sekali.

“Yang dibangkitkan adalah mengenai seorang wanita Kristian di Sarawak, apa keputusan kerajaan dan Raja-raja Melayu? Sarawak dan Sabah diberikan kelonggaran, kita mahu bawa mahkamah dan kita tahu takkan ada kes untuk menang tidak cerdik la namanya,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan kementerian itu menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Ia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Wanita itu memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya