SJKT Ladang Midlands terima RM100,000 - Utusan Malaysia

SJKT Ladang Midlands terima RM100,000

SJKT Ladang Midlands
MOHD. Najwan Halimi (tiga, kanan) menyaksikan penyarahan plakad cek oleh wakil MRCB (kanan) kepada wakil sekolah (kiri) di SJKT Ladang Midlands, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands, Seksyen 7 di sini menerima sumbangan sebanyak RM100,000 selepas membenarkan sebahagian padangnya digunakan untuk proses pembinaan sebuah stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Sekolah berkenaan menerima sumbangan daripada tiga buah syarikat iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Sunway Construction Group Berhad.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi, pihak sekolah memohon sumbangan itu selepas MRCB meletakkan bahan binaan dan jentera berat bagi tujuan melancarkan proses pembinaan Stesen Seksyen 7, lebih tiga bulan lalu.

“Perletakkan bahan binaan dan jentera berat ini menyebabkan sebahagian kecil kawasan padang itu rosak, lantas pihak sekolah meminta saya berjumpa dengan pihak MRCB bagi membincangkan perihal sumbangan ini.

“Saya berjumpa dengan pihak MRCB bagi membincangkan hal ini dan alhamdulillah, mereka bersetuju memberikan sumbangan ini atas pihak sekolah membantu syarikat bagi pembinaan kemudahan awam itu,” katanya dalam majlis penyampaian sumbangan itu di SJKT Ladang Midlands, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Infrastruktur Prasarana, Henny Shahril Kasiran memberitahu, Prasarana turut menzahirkan penghargaan pihak sekolah atas kesudian mereka membantu melancarkan proses pembinaan stesen berkenaan.

Menurutnya, stesen tersebut masih lagi berada dalam proses kerja-kerja pembinaan struktur lain seperti bilik operasi, pemasangan bekalan elektrik dan lain-lain.

“Stesen ini dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan yang mana, ia menghubungkan dua stesen, stesen Bandar Baru Klang dan stesen UiTM.

“Kita perlu siapkan kesemua stesen dalam projek LRT3 yang dijangka beroperasi seawal suku pertama tahun 2025,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.