KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menyatakan terdapat kecenderungan untuk pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali melakukan kesalahan sama kerana wanita itu terlibat dalam kerja-kerja amal melibatkan kanak-kanak.
“Salah satu alasan pemohon (Siti Bainun) untuk menggantung hukuman penjara ialah dia bergiat aktif dengan kerja-kerja amal.
“Mahkamah memutuskan bahawa bukanlah satu keadaan khas yang mewajarkan pemohon untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman. Tanpa pemohon pun, kerja-kerja amal tidak terhenti atau terbantut kerana masih ada banyak lagi sukarelawan yang terus bergiat dalam kerja amal.
“Jika permohonan ini dibenarkan beliau akan terus bergiat cergas, bermakna dia akan keluar penjara dan masih bergerak cergas ldan memungkinkan beliau melakukan kesalahan sebegini lagi kerana pemohon mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan sebeginii,” katanya.
Hakim Datuk Ahmad Bache memberitahu demikian ketika membaca penghakiman ringkasnya terhadap permohonan Siti Bainun untuk menggantung hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella.
Permohonan itu difailkan awal Mei lalu atas alasan Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu, menanggung seorang ibu tua sakit yang memerlukan perhatian serta rawatan selain Siti Bainun masih bergiat aktif dalam kerja-kerja amal serta banyak menyumbang dalam kegiatan kebajikan.
ASMA
Merujuk masalah kesihatan, Siti Bainun menyatakan bahawa dia mengalami asma, sakit hempedu dan gerd namun tiada sebarang laporan perubatan yang dikemukakan kepada mahkamah untuk menyokong dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, kata Hakim ahmad, pihak responden (pendakwa raya) telah mematahkan (dakwaan) dengan memfailkan afidavit jawapan daripada Dr. S. Sunita , iaitu Pegawai Perubatan di Klinik Penjara Wanita Kajang yang mendapati pemohon dalam keadaan stabil dan tidak mengalami apa-apa komplikasi kesihatan dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.
“Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa jika tidak ada apa-apa afidavit balasan difailkan maka mahkamah menganggap laporan dan pendapat Dr. Sunita sebagai diakui dan diterima oleh pihak pemohon,”kata Hakim Ahmad.
Sementara itu, alasan bahawa Siti Bainun menjaga ibu adalah isu peribadi berkaitan dengan urusan keluarga yang tidak mewajarkan satu penangguhan diberikan oleh mahkamah.
Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini mensabitkan Siti Bainun atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang remaja Sindrom Down, Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021
Mahkamah menjatuhkan penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama (mengabaikan) manakala 12 tahun untuk pertuduhan kedua (menganiaya). Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak. – UTUSAN










