KUALA LUMPUR: Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali yang menghadapi pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down Bella, akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini esok.
Hakim Izralizam Sanusi akan menentukan sama ada Siti Bainun, 31, disabitkan atau dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan selepas mendengar keterangan lapan saksi pembelaan.
Pihak pembelaan menutup kes pada 9 Mac lalu selepas saksi terakhir, Pensyarah Kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja Berkeperluan Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai selesai memberi keterangan.
Izralizam turut mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan masing-masing pada 7
April lalu dan hujahan balas difailkan pada atau sebelum 14 April.
Siti Bainun diarah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Ketika membela diri pada 21 Februari lalu, Siti Bainun menegaskan tiada sebab untuknya mengambil Bella sebagai anak angkat semata-mata untuk menderanya.
Menurut Siti Bainun, beliau malah lebih menyayangi Bella berbanding anak lain kerana remaja sindrom Down itu kelakar, manja dan gemar menyanyi di hadapan cermin.
“Saya juga bawa dia membeli-belah baju-baju sebab dia diberikan kepada saya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam keadaan sehelai sepinggang,” katanya ketika membaca penyataan saksi.
Perbicaraan kes itu bermula 30 Mac 2022 dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan termasuk pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.
Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN










