PADANG BESAR: Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia berusia 19 sehingga 39 tahun terus membimbangkan apabila direkodkan sebanyak 500,353 individu terpalit dengan barang terlarang itu sejak lima tahun lalu.
Jumlah tersebut merangkumi 90,660 individu pada 2018; 96,773 (2019); 83,401 (2020); 81,112 (2021); 86,567 (2022) dan 61,840 dari Januari sehingga Mac lalu.
Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja berusia 13 sehingga 18 tahun pula menunjukkan penurunan dalam tempoh lima tahun iaitu 4,918 pada 2018; 3,289 (2019); 2,556 (2020); 1,961 (2021); 1,671 (2022) dan 396 dari Januari hingga Mac tahun ini.
Dalam tempoh tersebut, secara keseluruhan ratusan ribu terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah iaitu 130,778 pada 2018; 142,199 (2019); 128,325 (2020); 123,139 (2021); 137,176 (2022) dan 103,760 dari Januari hingga Mac 2023.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, masalah penyalahgunaan dadah tersebut bukan sahaja di kampung malah ramai juga penagih di bandar yang mengguna dadah sintetik.
MEMULIHKAN
Bagaimanapun, menurut beliau, usaha merawat menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) berjaya memulihkan ramai klien selepas keluar dari pusat itu.
Menurut beliau, bagi 2022, AADK merawat pulih seramai 44,754 orang penagih menerusi RPDK.
“Daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien dinilai dan hasil penilaian itu mendapati seramai 14,008 atau 72 peratus klien mencapai tahap kepulihan. Pencapaian itu dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI) yang ditetapkan.
“Menerusi jumlah itu juga, AADK pada tahun lalu berjaya mencapai paras 71 peratus kadar klien kekal dalam kepulihan seperti yang disasarkan berbanding hanya 65 peratus yang dicapai pada 2021,” katanya ditemui semalam.
Dalam pada itu, katanya, pada tahun ini, AADK menyasarkan sebanyak 75 peratus untuk kadar klien kekal dalam kepulihan.
Sementara itu, Sutekno berkata, sehingga kini, terdapat lebih 6,000 klien sedang menjalani program RPDk di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) seluruh negara.
“Kita akan berusaha untuk menjadikan Puspen ini sebagai satu pusat bagi memberikan pendidikan kepada klien kami supaya mereka mendapat pendidikan sewajarnya dan berpeluang untuk dipulihkan.
“Ini adalah supaya klien ini dapat menjadi lebih produktif dan memperoleh peluang kedua untuk teruskan hidup,” katanya.- UTUSAN










