Sebuah sekolah rendah di Kedah didakwa seleweng dana PIBG - Utusan Malaysia

Sebuah sekolah rendah di Kedah didakwa seleweng dana PIBG

AUNI Nazmi (kiri) bersama peguam yang mewakilinya, Wan Azmir ketika sidang media khas di pejabat HWAM, Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah Sekolah rendah di Kedah didakwa menyeleweng dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila menggunakan wang tersebut untuk mengadakan program yang hanya melibatkan guru  bukan pelajar.

Bekas Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Auni Nazmi Azhar berkata, pihak pentadbiran memaklumkan pengeluaran dana adalah untuk membangunkan sekolah namun ia digunakan untuk tujuan tidak berkaitan.

Menurut beliau, dana daripada PIBG seharusnya digunakan untuk program atau tujuan yang membawa kepentingan dan manfaat kepada pelajar sahaja.

“Apabila mendapat kertas kerja setelah desakan dibuat iaitu selepas empat bulan, pihak sekolah gagal mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan pembangunan sekolah dan kemudian memaklumkan bahawa penggunaan dana tersebut adalah untuk program guru-guru.

“Dana tersebut digunakan untuk membeli baju dua helai untuk semua guru bagi program dua hari dan sewaan bas,” katanya dalam sidang media di Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Menara Dato Onn hari ini. 

Auni Nazmi berkata, beliau didesak untuk mengeluarkan duit PIBG tersebut terlebih dahulu sebelum mendapat kertas kerja pada hari kejadian iaitu 26 September 2022. 

“Ketika perbincangan WhatsApp, guru terlibat mengatakan proses pengeluaran akan mengambil masa lama sekiranya menunggu kertas kerja disiapkan. 

BERSETUJU

“Oleh disebabkan kepercayaan terhadap guru itu, saya bersetuju mengeluarkan sejumlah dana RM6,000 bagi tujuan memudahkan urusan semua pihak,” katanya. 

Katanya, pada 1 Oktober 2022, pihak sekolah sekali lagi meminta pengeluaran wang PIBG sebanyak RM10,000 tanpa mengemukakan kertas kerja. 

“Apabila saya menggesa mengemukakan kertas kerja, pihak pentadbir telah memulangkan semula dana RM10,000 tersebut namun, penggunaan RM 6,000 masih tidak dipulangkan sehingga hari ini,” jelasnya.

Jelasnya, pihak pentadbir juga sudah terlebih dahulu mengutip wang daripada para guru untuk mengadakan program tersebut.

Sementara itu, Pengurus Bersama HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, anak guamnya sebelum ini sudah membuat aduan kepada pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada 10 Oktober tahun lalu, namun tiada maklum balas diterima.

“Perkara ini menimbulkan kerisauan kepada anak guam saya kerana selama lapan bulan aduan dibuat, masih tiada apa-apa maklum balas yang diberikan oleh pihak JPN terhadap isu ini,” katanya.

Tambahnya, anak guamnya memberikan masa  dua minggu dari tempoh hari ini untuk pihak sekolah dan JPN memberi maklum balas sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Beliau (Auni Nazmi) memberikan tempoh 14 hari kepada pihak sekolah dan JPN untuk menyelesaikan isu ini. 

“Sekiranya masih tiada apa-apa maklum balas yang diterima, tindakan undang-undang akan diambil kepada mereka yang terlibat,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya