Malaysia terajui edisi pertama sidang kemuncak e-dagang global

Malaysia terajui edisi pertama sidang kemuncak e-dagang global

KETUA Pegawai Eksekutif Yalla Commerce, Arfa Hussain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dipilih menjadi negara pertama  Sidang Kemuncak E-Dagang Global, Yalla Commerce yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai bidang. 

Edisi pelancaran Yalla Commerce dijadual berlangsung pada 11 Ogos 2026 di Nexus, Connexion Conference & Event Centre, Kuala Lumpur mencerminkan kedudukan negara yang semakin penting dalam landskap perdagangan digital Asia Tenggara. 

Ia selain sejajar dengan hasrat Yalla Commerce untuk memperkukuhkan koridor perdagangan digital antara UAE dan Malaysia menerusi penglibatan pengasas syarikat, platform digital, pelabur, rakan ekosistem serta pemimpin industri dari kedua-dua rantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Yalla Commerce, Arfa Hussain berkata, Malaysia dipilih kerana memiliki antara ekosistem e-dagang paling aktif dan berpotensi tinggi di Asia Tenggara.

“Malaysia mempunyai komuniti usahawan digital yang bercita-cita tinggi, kadar penggunaan teknologi yang semakin meningkat serta potensi pertumbuhan serantau yang kukuh.

“Melalui penganjuran di Kuala Lumpur, kami mahu menghimpunkan pemimpin industri dari UAE dan Malaysia bagi mewujudkan kerjasama rentas sempadan, membuka peluang baharu serta membantu usahawan e-dagang bersedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, industri e-dagang kini berdepan perubahan yang pantas susulan perkembangan geopolitik global, peningkatan kos operasi dan cabaran logistik dan penghantaran. 

“Ia termasuk perubahan corak perbelanjaan pengguna serta kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi model perniagaan digital.

“Sehubungan itu, Yalla Commerce diperkenalkan sebagai platform yang menghimpunkan perbincangan mengenai cabaran dan peluang semasa industri.

“Ini selain membantu usahawan memahami perubahan pasaran, menyesuaikan strategi perniagaan dan meneroka peluang perdagangan digital antara Malaysia, UAE serta pasaran serantau lain,” jelasnya. 

Beliau berkata, Yalla Commerce meletakkan Malaysia sebagai hab utama yang menghubungkan ekosistem e-dagang Asia Tenggara dengan kekuatan UAE dalam bidang perdagangan, logistik, perniagaan digital dan pengembangan pasaran serantau.

“Ia dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi edisi pertama sidang kemuncak global ini. 

“Selepas Malaysia, Yalla Commerce dijadual meneruskan penganjurannya di Singapura, Arab Saudi, Qatar dan Dubai sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan platform serantau yang membolehkan usahawan e-dagang berhubung, berkongsi pengalaman dan meneroka peluang pertumbuhan baharu,” katanya. 

Pendaftaran awal (Early Bird) akan dibuka secara rasmi pada 10 Jun 2026 dengan hanya 300 pas awam ditawarkan bagi edisi sulung sidang kemuncak tersebut.

Sidang kemuncak itu akan memberi tumpuan kepada isu-isu utama yang dihadapi pemain industri e-dagang ketika ini.

Ia termasuk usaha mengurangkan kos operasi menerusi penggunaan AI, meningkatkan pemerolehan pelanggan dalam persekitaran kos pengiklanan yang semakin tinggi, memahami perubahan tingkah laku pengguna, memperkukuhkan sistem pembayaran dan logistik serta memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN