SD palsu tukar PM gugat kestabilan negara

SD palsu tukar PM gugat kestabilan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ura-ura pemimpin politik mengumpul akuan sumpah berkanun (SD) kononnya menyokong  individu tertentu sebagai Perdana Menteri baharu bukan sahaja mengugat kestabilan negara malah mencemarkan kesucian undang-undang.

Minggu ini, khabar tentang pengumpulan SD dalam kalangan wakil rakyat oleh pihak tertentu muncul semula dan tindakan itu secara tidak langsung menggugat keharmonian politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, nilai dokumen tersebut di bawah Akta Akuan Berkanun 1960  diburukkan oleh tindakan ahli-ahli politik yang menggunakan perkara itu untuk menjatuhkan kerajaan dipilih  rakyat dalam pilihan raya.

Menurut beliau,  pengundi telah memberi mandat kepada calon dan parti untuk membentuk kerajaan, malangnya ada pihak mempergunakan SD mahu menukar Perdana Menteri dan kerajaan.

Katanya, lebih mengejutkan terdapat wakil rakyat sebelum ini dipercayai menandatangani dua SD  sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kesahihan dokumen ditandatangani, sama ada beliau menyokong calon A atau calon B sebagai Perdana Menteri.

“SD tidak salah, yang patut dipersalahkan adalah ahli-ahli politik sendiri yang menggunakan satu akuan menyokong calon-calon tertentu. Sekejap dia tandatangan akuan bersumpah sokong calon tertentu sebagai Perdana Menteri dan selepas itu, sebaliknya.

“Ini telah mencetuskan polemik politik tidak kesudahan dan menjejaskan kestabilan negara, mungkin hari ini dia sokong A, mungkin tiga bulan dia menyatakan sebaliknya manakala pada masa depan tidak tahu pula dia sokong apa jika sumpah berkanun digunakan demi kepentingan sendiri,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membuktikan mereka mempunyai majoriti cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pada sidang Parlimen yang dijadualkan hujung Mei ini.

Hal ini ekoran isu SD dalam kalangan ahli-ahli Parlimen makin hangat diperkatakan ekoran timbul desas-desus berlaku pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri dalam masa terdekat dengan ada pihak kononnya mendapat memperoleh jumlah sokongan mencukupi.

Justeru, Mohamed Haniff Khatri berkata, mana-mana yang mendakwa mempunyai cukup majoriti perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat berbanding menunjukkan SD di luar sidang Parlimen yang dikhuatiri wujud kesahihan terhadap dokumen yang ditandatangani.

Jelasnya, saluran undi percaya dilihat satu mekanisme terbaik dan sah di sisi Perlembagaan Persekutuan serta dapat menunjukkan kepada pihak luar bahawa kerajaan stabil kerana memperoleh sokongan ahli-ahli Parlimen.

Beliau menjelaskan, menandatangani dan membawa SD palsu adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan manakala dokumen tersebut tidak sah digunakan termasuk bagi menyatakan sokongan kepada pihak tertentu sebagai calon Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu menjawab tindakan segelintir wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini dipercayai mempunyai dua SD berbeza dan perbuatan itu disifatkan memberikan keterangan palsu.

“Bukan sahaja orang memandang SD palsu, malah orang mengemukakan dokumen sama juga merupakan satu jenayah. Selain itu, dokumen tersebut tidak sah dan tidak boleh digunakan sebagai bukti sokongan kepada calon tertentu sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pertukaran kerajaan dan pemimpin secara tiba-tiba akan menyebabkan rakyat muak dengan percaturan politik didalangi pihak tertentu di saat rakyat kini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk memulihkan ekonomi negara.

Menurut beliau. perkara itu sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan orang ramai terhadap penguasa politik yang mementingkan agenda sendiri.

Katanya, rakyat kini mendambakan sebuah kerajaan yang stabil selepas berlaku pilihan raya agar keadaan itu dapat menjamin kemakmuran dan pembangunan negara dan negeri.

“Pertukaran ketua di tengah-tengah penggal boleh mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap parti politik sekali gus menyebabkan mereka mulai rasa muak dan bosan kerana percaturan penguasa politik, sedangkan mereka memberi mandat untuk memilih sebuah kerajaan stabil.

“Pemerintah perlu menumpukan kepada soal-soal kemajuan dan memastikan pentadbiran berjalan dengan baik, berbanding mengejar soal politik yang tidak kesudahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN