Runding harga air: Jangan sampai hubungan renggang

Runding harga air: Jangan sampai hubungan renggang

HUBUNGAN Malaysia-Singapura kekal erat di sebalik pelbagai isu yang melanda antara kedua-dua negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang rundingan harga air mentah Malaysia yang disalurkan ke Singapura tidak boleh sampai merenggangkan hubungan kedua-dua negara.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis ekonomi, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid tidak menolak semakan semula pada kadar harga yang munasabah itu sedikit sebanyak dapat meningkat sumber pendapatan negara.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd. berkata, perkara tersebut perlu dilihat dari skop yang lebih luas terutamanya membabitkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Sensitiviti kontrak perlu dipelihara tetapi kalau boleh apa salahnya, cuma kena persetujuan harmoni antara ke­dua-dua negara.

“Apa-apa pun jika mahu buat, maka kena mengambil kira hubungan dua negara. Pertama sebab jiran dan keduanya dari sudut ekonomi yang mana saling kebergantungan itu tinggi, jadi dalam keadaan semasa tidak boleh lakukan sesuatu perkara yang merenggangkan.

“Ada pelaburan, ada yang rakyat yang bekerja di sana, maka kalau boleh capai persetujuan kedua-kedua belah pihak itu untuk satu rundingan yang baru dari aspek penyelesaian. Jika isu ini boleh merenggangkan, maka itu merugikan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam akhbar ini mela­porkan, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk menye­mak semula harga air mentah dijual ke Singapura yang disifatkan pada kadar tidak munasabah selepas 61 tahun.

Ketika ini, Perjanjian Air Sungai Johor 1962 membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor sehingga 2061 pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Kadar harga air mentah yang disalurkan ke negara republik itu sebelum ini sudah melalui beberapa rundingan pada 1998 hingga 2002 dan 2018, namun gagal mencapai kata sepakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN