KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan empat agensi kerajaan mengambil tindakan segera susulan laporan negara mengalami kerugian RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah dan ketirisan.
Perdana Menteri berkata, walaupun jumlah sebenar kerugian yang dialami negara belum dapat dipastikan, beliau mengakui ketirisan di negara ini melibatkan puluhan bilion ringgit.
“Saya dah beri arahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil apa sahaja langkah,” katanya ketika hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Dataran Merdeka, semalam.
Beliau berkata, arahan itu juga dibuat kerana beliau menyifatkan kerugian besar akibat rasuah dan ketirisan adalah disebabkan ada pihak tertentu yang terlibat namun tidak pernah berdepan sebarang tindakan.
“Ada orang-orang yang kita tahu rasuah berbilion, dah berpuluh tahun tapi selamat, tidak berani disentuh. Apa erti negara ada undang-undang kalau kita minta polis, LHDN ambil tindakan di bawah-bawah tapi yang di atas terlepas.
“Saya harap rakyat tak kira parti, tak kira kaum, bagi sokongan terhadap tindakan ini,” katanya.
Beliau mengulas laporan yang dikeluarkan oleh badan pemikir, Emir Research yang menganggarkan kerugian negara sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan berdasarkan perbelanjaan kerajaan dan penyelewengan dana awam.
Anggaran oleh badan pemikir yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang bermula daripada Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.
Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau menjadikan arahannya dalam menangani ketirisan sebagai satu keputusan dasar yang serius walaupun mendapat tentangan daripada golongan kaya yang korup.
“Saya telah ambil satu keputusan dan tekad masalah ini mesti diselamatkan daripada penyakau-penyakau ini, dan ini memerlukan tekad politik yang jelas, yang tegas. Ini bukan soal kaum, bukan soal penganut agama berbeza, dia soal karakter, soal akhlak dan soal nilai.
“Kita mahu rakyat faham dan bersama kita menyerang dan menghentikan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, berhubung isu kekayaan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar berasakan yang beliau tidak perlu bersusah payah untuk mengemukakan bukti mengenai kekayaan bekas Perdana Menteri itu.
“Ada…dah ada (bukti), kalau dah ada pesawat, ada kapal, ada syarikat berbilion-bilion, bukti apa lagi… semua orang tahu. Ini menegakkan benang yang basah,” katanya. – UTUSAN










