Rokok: JKNJ keluar 209 notis, lihatkan kompaun RM51,350 - Utusan Malaysia

Rokok: JKNJ keluar 209 notis, lihatkan kompaun RM51,350

DR. MOHTAR PUNGUT (tengah) memberi penerangan kepada seorang pengusaha kedai makan tentang kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah PPKHT 2004 dalam Operasi Mega Bersepadu di Taman Abad, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ)  mengeluarkan sebanyak 209 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) dalam Operasi Mega Bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri ini, semalam. 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohtar Pungut@Ahmad berkata, sebanyak 426 premis telah diperiksa dalam operasi itu yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah PPKHT 2004 dengan nilai kompaun keseluruhan RM51,350. 

“Sebanyak 126 notis dikeluarkan terhadap kesalahan merokok di premis makanan di bawah Peraturan 11(1)(d) dan 17 notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1) yang dikeluarkan kepada orang belum dewasa (OBD) yang merokok. 

“Kita turut mengeluarkan 26 notis bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis di bawah Peraturan 12(1)(a) dan lima notis kesalahan di bawah Peraturan 8C(1) kerana menjual rokok di bawah harga minimum,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sekitar Taman Abad, di sini.

Operasi tersebut akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap PPKHT 2004 secara berterusan.

Dalam pada itu, sebanyak 4,106 notis telah dikeluarkan melibatkan jumlah RM669,300 sejak awal tahun ini hingga bulan lalu.

“Jumlah notis ini meningkat 279 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu sebanyak 1,082 notis kesalahan. Daripada jumlah itu, 3,230 notis kesalahan dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan, OBD merokok (213), gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis termasuk yang tidak mengikut standard diberikan (206) dan menjual rokok di bawah harga minimum (110). 

“Tindakan mahkamah boleh dikenakan terhadap orang yang dikenakan notis yang gagal membayar kompaun dalam tempoh ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya