Rafizi nafi PKR ajak Pas sertai kerajaan perpaduan - Utusan Malaysia

Rafizi nafi PKR ajak Pas sertai kerajaan perpaduan

Rafizi Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan perpaduan ketika ini pernah menghubunginya untuk menjalin kerjasama politik antara mereka.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Ekonomi mengakui tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

“Saya tak pernah dengar (dakwaan Pas ditawarkan masuk kerajaan) sedangkan saya adalah antara tiga individu dalam PKR yang banyak runding tentang pembentukan kerajaan perpaduan selain Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya tidak tahu ini cerita zaman bila tapi sepanjang saya terlibat dalam pembentukan kerajaan perpaduan sehingga sekarang, saya tidak tahu langsung berkaitan itu, kecualilah ada sesiapa yang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan dakwaan Abdul Hadi bahawa PKR lemah dan mempunyai masalah dalaman sebagai pandangan peribadi.

“Saya biasa tidak komen apa yang Abdul Hadi cakap, dia kata PKR tak kukuh itu pendapat dia. PKR memang tak kukuh tetapi Perdana Menteri adalah daripada PKR dan kita juga merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Dia (Abdul Hadi) pernah kata orang macam-macam, pernah kata orang ayam itik semua, jadi setakat dia kata PKR tak kukuh itu sudah dikira baik, paling kurang dia tak panggil kami nama yang lebih teruk,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi mendedahkan pernah dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan, namun mempersoalkan tawaran tersebut yang sepatutnya memberi kelebihan kepada Pas kerana mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya