MEKAH: Pusat perubatan Tabung Haji (TH) di Madinah mula beroperasi sepenuhnya secara sah selepas mendapat permit daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama menerima pengiktirafan itu dua tahun berturut-turut.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, permit itu dimohon sejak Februari dan hanya diluluskan Rabu lalu selepas pihak berkuasa Arab Saudi berpuas hati dengan pematuhan kesihatan yang ketat.
Katanya, seramai 296 petugas perubatan termasuk doktor pakar, ahli farmasi dan jururawat telah berada di sini dan Madinah untuk berkhidmat kepada tetamu Allah musim ini.
“Pusat rawatan TH telah mencapai tahap pematuhan yang tinggi sebelum diberikan permit. Ia telah melalui saringan dan pemeriksaan yang lebih ketat berbanding tahun lalu akibat pandemik.
“Kita perlu penuhi syarat dan tambah baik yang diperlukan seperti pelan lantai, fasiliti, kekuatan, ambulans, pengurusan sisa klinikal selain memastikan semua petugas mempunyai sijil berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Syed Saleh, segala yang diminta itu sama seperti amalan hospital di Malaysia dan sebab itu ia tidak menjadi satu masalah atau beban untuk dipenuhi selain hubungan baik yang terjalin antara Kuala Lumpur-Riyadh.
Sementara itu, Syed Saleh memberitahu, setakat ini seramai 9,078 jemaah telah tiba di Tanah Suci dengan 6,112 berada di Madinah.
Dalam pada itu, lapan jemaah haji terpaksa dimasukkan ke wad selepas mengalami jangkitan paru-paru dan keretakan tulang akibat terjatuh ketika mereka berada di sini dan Madinah.
Syed Saleh berkata, daripada jumlah itu, tiga berada di pusat rawatan Madinah, Mekah (tiga) dan dua lagi dimasukkan ke wad di Hospital Arab Saudi.
Katanya, tujuh jemaah disahkan menghidap jangkitan paru-paru selepas melakukan ujian CT Scan di Hospital Arab Saudi manakala seorang lagi mengalami keretakan tulang akibat terjatuh di tandas.
“Kesemua yang sakit itu berusia 60 tahun ke atas dan keluarga mereka telah dimaklumkan mengenainya.
“Mereka akan keluar wad selepas keadaan keadaan stabil serta beransur pulih,” katanya di sini, semalam.- UTUSAN











