Projek sakit: Pembeli jangan saman pemaju baharu

Projek sakit: Pembeli jangan saman pemaju baharu

ANTARA projek perumahan di Selayang, Selangor yang terbengkalai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembeli yang berdepan isu rumah terbengkalai perlu turut memberikan kerjsama kepada pemaju baharu yang dilantik dengan tidak mengemukakan tuntutan terhadap pemaju berkenaan khususnya denda lewat.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, pembeli harus memberikan peluang kepada pemaju baharu untuk memulihkan projek yang tergendala itu.

“Kadangkala pemaju baru nak masuk, tetapi denda lewat sampai bawa ke mahkamah (terhadap pemaju sedia ada) dan itu menyebabkan projek itu tidak dapat diteruskan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) tidak menolak kebanyakan projek terbengkalai disebabkan oleh pemaju yang muflis.

Ia susulan sebanyak 65,529 unit rumah dikesan terbengkalai di Semenanjung sekali gus me­rugikan pembeli yang terpaksa membayar pinjaman bank.

Ishak berkata, tidak dapat dinafikan projek-projek perumahan sakit dan terbengkalai perlu dipulihkan mengikut langkah sedia ada dengan kerjasama semua pihak demi kebaikan pembeli yang terjejas.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan harus memastikan pemaju terlibat disenarai hitam dan dikenakan tindakan.

“Pertama, mesti mengenal pasti punca projek itu lewat atau terbengkalai, setelah itu, kena cari pihak yang boleh membantu selesaikan masalah tersebut.

“Saya yakin mereka tentulah pemaju yang mempunyai pengalaman, integriti dan kemampuan kewangan meneruskan projek tersebut,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan sesuatu projek itu terlewat atau terbengkalai.

Ia termasuk kekangan kewangan pemaju, jualan hartanah tersebut yang tidak menggalakkan, kenaikan kos bahan binaan, kecuaian pihak kontraktor, perunding atau pemaju sendiri yang melanggar undang-undang sehingga dikenakan arahan henti kerja atau gangguan faktor luar seperti bantahan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN