TAMPIN: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sokongan pengundi di Negeri Sembilan di sebalik propaganda Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa akan berlaku tsunami orang Melayu di negeri ini termasuk Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam sistem demokrasi di negara ini, semua pihak boleh mengeluarkan pandangan, namun, pilihan raya umum yang lalu memperlihatkan keputusan yang sebaliknya berbanding dakwaan tersebut.
“Biarlah mereka bercakap apa sahaja, tetapi, keputusan pilihan raya yang lalu memperlihatkan bahawa apa yang berlaku di Negeri Sembilan adalah sebaliknya daripada apa yang disebut oleh mereka.
“Dengan adanya penyatuan antara BN dan PH, kita amat yakin bahawa rakyat perlukan kestabilan dan Negeri Sembilan ini keutamaannya adalah daripada segi pembangunan ekonomi dan rakyat juga perlukan pekerjaan. Saya fikir rakyat Negeri Sembilan akan lebih bijaksana untuk memilih kerajaan yang dapat membantu mereka.
“Saya harapkan agar keserasian di antara jentera BN dan PH dapat dipertingkatkan sekarang ini bagi kita menghadapi cerita-cerita dan juga propaganda seperti itu. Insya-Allah, kita akan dapat dukungan rakyat di Negeri Sembilan semula seluruhnya,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Komuniti Felda Jelai 2, Gemas, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, ‘tsunami Melayu’ bakal berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN tidak lama lagi.
Ketika memberitahu Utusan Malaysia, Abdul Rashid berkata, gelombang besar yang bermula dari negeri-negeri utara dan pantai timur itu bukan sahaja akan dapat dirasai impaknya di Selangor, bahkan mungkin merebak di Negeri Sembilan.
Katanya, gelombang yang disifatkannya sebagai ‘terlampau hebat’ itu juga diyakini dapat mengubah pendirian pengundi parti lain termasuk UMNO untuk menyokong PN pada PRN depan.
Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa PN mampu meraih sokongan 70 peratus undi terutama undi Melayu pada PRN akan datang, Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan terbaik mereka.
“Kita tidak perlu layan propaganda begitu, kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan dimanakah pilihan terbaik setakat ini dengan keberadaan kita seramai 148 orang ahli Parlimen, ia memperlihatkan dua pertiga majoriti,” katanya yang juga Pengerusi BN.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, BN sudah pasti menggunakan formula dengan menampilkan lebih ramai muka baharu dan muka muda sebagai calon mewakili parti itu dalam PRN di enam buah negeri kelak.
“Ia sudah terbukti di PRN melaka, saya meletakkan 82 peratus muka-muka baharu yang 67 peratus adalah orang-orang muda, begitu juga di Johor, ia berada di tahap 74 peratus dan kerajaan Johor diketuai oleh orang muda, trend ini menjadi harapan kepada rakyat.
“Kombinasi antara beberapa generasi harus dilakukan yang penting peremajaan (parti) dengan memberi peluang kepada calon-calon muda mesti dilakukan di keenam-enam negeri,” katanya lagi. -UTUSAN