PN Pahang sokong peruntukan kepada ADUN pembangkang - Utusan Malaysia

PN Pahang sokong peruntukan kepada ADUN pembangkang

SERAMAI 17 ADUN pembangkang hadir ke mesyuarat khas berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Pejabat Sekretariat Perikatan Nasional (PN) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang menyokong penuh penyaluran peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini seperti dititahkan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, titah Pemangku Raja Pahang supaya peruntukan adil diberikan kepada ADUN pembangkang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, PN Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Tengku Hassanal.

“Seperti dititahkan Pemangku Raja Pahang, ia secara langsung menjadi arahan kepada kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada ADUN pembangkang di sini.

“Kami juga wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan kerajaan negeri perlu menghormati pilihan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar khas berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Pejabat Sekretariat PN Pahang di sini hari ini.

Pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, Tengku Hassanal mengingatkan kerajaan Pahang supaya memberikan peruntukan yang adil kepada ADUN pembangkang di negeri ini.

Pemangku Raja Pahang bertitah, dalam tempoh 66 tahun kemerdekaan negara, politik perlu matang dan yang menjadi kerajaan negeri harus meraikan pembangkang kerana mereka juga dipilih oleh rakyat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, peruntukan kepada ADUN pembangkang penting terutama berkaitan dengan peruntukan kecil yang perlu diberikan kepada rakyat.

“Ini kerana sebagai contoh, berlaku ribut di suatu kawasan, mangsa akan datang ke pusat khidmat, dana perlu disalurkan segera.

“Peruntukan yang dimaksudkan itu bukan disalur secara terus kepada ADUN tetapi ke pejabat daerah, cuma geran sahaja yang diminta untuk diserahkan kepada kita… ia bukan dalam bentuk wang tunai.

“Semua projek segera itu akan diaudit termasuk peruntukan RM5,000 bagi sumbangan Hari Raya dan sebelum ini kami telah sediakan laporan lengkap supaya tidak timbul berlakunya penyelewengan,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, kali terakhir ADUN pembangkang menerima peruntukan dari kerajaan negeri pada 2019 dan 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya