PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan ‘tsunami Melayu’ bakal berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, gelombang besar yang bermula dari negeri utara dan pantai timur itu bukan sahaja dapat dirasai impaknya di Selangor bahkan mungkin merebak Negeri Sembilan.
Menurutnya, gelombang yang disifatkannya sebagai ‘terlampau hebat’ itu juga diyakini dapat mengubah pendirian pengundi daripada parti lain termasuk UMNO untuk menyokong PN pada PRN depan.
“Trend ketika ini sangat memihak kepada PN terutamanya sokongan daripada orang Melayu, malah maklum balas di akar umbi juga mengatakan bahawa orang UMNO pun sudah mula menyokong PN,” katanya.
SEPARUH
Menurut beliau, PN Selangor menyasarkan dapat menawan sekurang-kurangnya separuh daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor sekali gus dapat menubuhkan kerajaan.
Jelasnya, untuk merealisasikan perkara itu, tumpuan khusus akan diberikan kepada kerusi majoriti orang Melayu di seluruh negeri tersebut.
“Kerusi yang dipertandingkan di Selangor adalah sebanyak 56 kerusi, kita menyasarkan sekurang-kurangnya menang separuh daripadanya khususnya di kawasan majoriti orang Melayu.
“Bagaimanapun, bantuan turut akan dikerahkan di 16 kerusi majoriti orang bukan Melayu bagi membantu calon parti komponen kita iaitu Gerakan dan calon dari sayap bersekutu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya menyasarkan 19 daripada 36 kerusi DUN di negeri tersebut bagi menubuhkan kerajaan negeri pada PRN depan.
Menurutnya, PN Negeri Sembilan juga sedang berusaha untuk menawan lebih banyak kerusi di negeri tersebut sekali gus memperbaiki prestasi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Kita sudah pun mula bertemu pengundi di seluruh negeri untuk menyakinkan mereka mengapa perlu mengundi PN pada pilihan raya ini dan rata-rata pengundi mendapat respons positif.
“Pusingan kedua sesi bertemu pengundi juga sudah dilaksanakan sepanjang musim perayaan ini dan kita akan teruskan sehingga pilihan raya berlangsung,” katanya.
Beliau juga yakin ‘tsunami Melayu’ turut akan melanda Negeri Sembilan dengan sokongan kuat diberikan kepada PN. – UTUSAN










