PETALING JAYA: Perdana Menteri menghargai tindakan sekumpulan masyarakat Borneo baru-baru ini yang berarak di jalan raya dengan mengenakan pakaian tradisional suku kaum masing-masing di ibu kota.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut merupakan salah satu usaha bagi mengetengahkan dan menggariskan budaya masyarakat Borneo ke mata pelancong asing dan tempatan.
Menurut beliau, melalui usaha tersebut, ia akan membentuk aspek kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Usaha memberi kefahaman dengan tujuan menjelmakan rasa cinta dan kasih sayang serta bagi memperkukuh kerukunan semestinya didukung terus.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada seluruh masyarakat di Sabah dan Sarawak yang menyambutnya dengan penuh meriah setiap tahun.
Kedua-dua perayaan itu disambut bagi menzahirkan rasa syukur dan gembira atas rezeki yang melimpah ruah serta hasil tuai yang bertambah,” katanya.-UTUSAN