JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak akan memungkiri janji untuk menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seperti yang telah diumumkan terdahulu.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat akan menantikan perkhabaran baik tersebut dan tidak termakan tohmahan pembangkang bahawa pihaknya hanya memungkiri janji yang telah dibuat.
“Ada yang marah harga minyak belum turun walaupun sudah September, sebelum ini saya kata sebelum akhir September, kalau 10 September belum akhir bulan lagi, jadi sabarlah, tunggu sekejap sama ada akan turun atau tidak.
“Jika bukan rakyat Malaysia, mungkin kena bayar harga RM2.50 atau RM2.60, tetapi rakyat hanya bayar RM1.99 sahaja. Tengoklah mana-mana negara lain, mana ada yang turun harga minyak, tiada,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.
Tambah beliau, perkara tersebut boleh dilaksanakan pihaknya ketika ini adalah disebabkan pentadbiran kerajaan Persekutuan hari ini peduli dan cakna dengan keluhan masyarakat.
“Sebab apa kita boleh (turunkan harga minyak), sebab kita perintah. Kerajaan ini fikirkan rakyat, apabila kita sudah berjanji kita akan tunai. Sebelum ini kita kata hari ini tubuh kerajaan, esok turun harga minyak, tetapi ambil masa satu atau dua tahun, turun juga kan.
“Selain itu, ada pihak tanya banyak lagi (janji) belum buat, ya betul banyak lagi yang belum buat, tetapi masa kamu (pembangkang) perintah apa yang kamu buat, kita akan lakukan yang terbaik demi rakyat,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, beliau turut memberitahu langkah kerajaan memberikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) RM100 telah memberikan kegembiraan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.
“Baru-baru ini kita bagi RM100, ‘happy’ tak, ‘happy’ kan. Bantuan ini bukan sahaja kepada golongan B40 dan M40, tetapi juga kepada golongan profesional. Sekurang-kurangnya kita ingat semua rakyat Malaysia, nanti kita tengok ya (untuk tambah nilai),” ujarnya lanjut.
Pada 23 Julai lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak sekaligus memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk pekerja gig.
Beliau dilaporkan berkata, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.











