KUALA TERENGGANU: ‘Ukur baju di badan sendiri’. Itulah peribahasa yang sesuai ditujukan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Terengganu apabila meletakkan sasaran bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Jumlah kerusi yang disasarkan oleh pemimpin PH yang melibatkan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu dianggap sebagai ‘bernafsu besar’.
Ini kerana jumlah keahlian PKR dan Amanah di kebanyakan DUN di Terengganu difahamkan tidak sampai 1,000 orang ahli.
Keadaan tersebut menyebabkan PH di peringkat cawangan tidak mampu menggerakkan jentera membantu calon menjalankan kempen pada PRN ini.
Sebaliknya, calon-calon PH yang bakal bertanding terpaksa bergantung hampir 100 peratus jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Lebih parah lagi, PH juga tidak mempunyai calon hebat dan berkaliber untuk dipertaruhkan seterusnya menjamin kemenangan apabila berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Berdasarkan kedudukan PH yang tidak mempunyai pengaruh di Terengganu, kesemua 12 calon PH bakal bertanding dalam PRN ini akan tewas termasuk hilang deposit.
Terdapat dalam kalangan pemimpin UMNO di Terengganu berpendapat PH hanya layak bertanding di enam kerusi DUN sahaja berdasarkan kemampuan parti tersebut.
Pemimpin PH sepatutnya menilai kemampuan sebenar mereka dan bukan meletakkan sasaran calon yang ramai tetapi tidak boleh menyumbang kemenangan.
Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila terdapat laporan yang mendakwa jentera UMNO dikatakan akan memprotes dan tidak mahu menerima calon PH di Pantai Timur.
Seorang pemimpin parti itu di Terengganu dilaporkan berkata, protes itu berikutan akar umbi tidak dapat menerima kerjasama UMNO dan PH.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan kesemua kerusi yang bakal ditandingi PH merupakan kawasan yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu.
Sementara itu, BN pula akan bertanding di 20 DUN termasuk 10 kerusi yang dimenangi pada PRU14. – UTUSAN










