KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini semalam diberitahu, ikatan perkahwinan pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan.
Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, maklumat itu diperolehi hasil dapatan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang mengadakan perbincangan dengan pihak yang mewakili pasangan suami isteri itu.
“Kedua-dua wakil Puteri Sarah dan Syamsul berpendirian perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan dan mereka tidak sepakat untuk berdamai,” katanya selepas prosiding itu.
Ujarnya, antara isu yang didedahkan berlaku ‘shiqaq’ iaitu perbalahan berpanjangan dan gangguan pihak ketiga dalam rumah tangga pasangan itu.
“Pengerusi JKP juga maklumkan, Puteri Sarah mendakwa berlaku lafaz cerai sebanyak dua kali oleh Syamsul,” katanya.
Jelasnya, jika mahkamah mensabit perceraian berlaku sebanyak dua kali, ini bermakna permohonan cerai Puteri Sarah merupakan kali ketiga.
Semalam ditetapkan pendengaran keterangan pengerusi JKP yang mengendalikan perbincangan antara wakil Puteri Sarah dan wakil Syamsul yang mana mahkamah berpuas hati pegawai berkenaan mengendalikan perbincangan dengan tertib.
Akberdin turut memberitahu, pengerusi JKP memaklumkan, Puteri Sarah mendakwa berlaku lafaz cerai sebanyak dua kali oleh suaminya.
Katanya, pihak Syamsul bagaimanapun menafikannya.
Ujarnya, mahkamah mahukan agar lafaz cerai sebanyak dua kali yang didakwa itu diselesaikan terlebih dahulu kerana ia melibatkan isu talak.
“Mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pihak-pihak membincangkan siapa yang akan memfailkan permohonan pengesahan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah mencadangkan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Syamsul kerana talak di tangan suami.
Bagaimanapun, pihak Syamsul mahukan agar permohonan itu difailkan oleh Puteri Sarah kerana beliau yang membangkitkan isu lafaz cerai itu.
Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas kemudian menetapkan 14 Jun ini untuk memaklumkan kepada mahkamah perkembangan memfailkan permohonan pengesahan perceraian.
Sementara itu, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Shamsul Md. Yusof menafikan perceraian dua kali kerana tidak mengetahui dapatan laporan JKP berkenaan kerana ia dibuat secara berasingan. – UTUSAN










