Penunggang motosikal maut nahas lapan buah kenderaan - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut nahas lapan buah kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan termasuk lima buah motosikal di Kilometer 222.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, mangsa yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Muhammad Alif Danial Muhamad Zamri, 22, beralamat di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Selangor.

Kata beliau, nahas berkenaan membabitkan lima buah motosikal jenis Yamaha Y16ZR dan kereta jenis Nissan Almera, Perodua Myvi dan Toyota Yaris.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang maut bersama empat rakannya menunggang motosikal di lorong kiri dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang, Seremban. Sampai di tempat kejadian mangsa hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sisi sebelah kanan kereta jenis Nissan Almera yang memandu di arah yang sama. 

“Akibat perlanggaran tersebut mangsa tercampak ke longkang bahagian kiri manakala rakan penunggang yang mengekori rapat hilang kawalan akibat cuba mengelak lalu terjatuh atas jalan. 

“Pemandu Nissan Almera yang dilanggar berpusing dan berhenti di lorong kanan selepas perlanggaran pertama. Kemudian datang Toyota Yaris yang memandu di lorong kanan cuba mengelak ke kiri kereta Nissan Almera yang berada atas laluan namun dirempuh pula oleh Perodua Myvi yang memandu di lorong tengah datang dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Hazri lagi, akibat kemalangan tersebut seorang penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun mengalami kecederaan patah lengan kanan, paha kanan dan lengan kiri dirawat di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.

Menurutnya, tiga penunggang motosikal lagi yang berusia 19 hingga 21 tahun mendapatkan rawatan di zon Kuning dan hijau hospital yang sama.

“Tiga orang pemandu kereta yang terlibat kemalangan pula tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya