KUALA LUMPUR: Penyanyi, Baby Shima menegaskan, kenyataannya berhubung penganjuran konsert Coldplay baru-baru ini sekadar luahan peribadi dan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak termasuk ahli politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, sebagai seorang individu, dia berhak melontarkan sebarang pendapat secara umum tentang sebarang isu.
“Apa pun yang saya suarakan adalah pendapat peribadi sendiri. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun.
“Takkanlah disebabkan saya ini seorang artis, maka tidak boleh suarakan pendapat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Terdahulu, Baby Shima terpalit dengan kontroversi apabila tampil membuat komen sesiapa yang berasakan penganjuran konsert Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini sebagai sesuatu yang bersifat haram di sisi agama, adalah lebih baik tidak hadir untuk menonton.
Kenyataannya itu mengundang bantahan daripada pendakwah bebas, PU Syed yang berpendapat penganjuran konsert Coldplay dan kedatangan kumpulan terbabit tidak memberi manfaat kepada ummah.
Malah, menurut PU Syed, budaya hedonisme atau hiburan dalam masyarakat perlu dihentikan.
Selain PU Syed, bantahan terhadap konsert tersebut juga dibuat oleh pemimpin Pas, Nasrudin Hassan.
Ditanya mengenai tindakannya menepis sindiran sinis netizen yang cuba mengaitkan kontroversi ini dengan popularitinya di Indonesia, penyanyi lagu Lalai ini ada jawapan sendiri.
“Berkenaan isu ini, bagi saya, tidak timbul soal saya mempertahankan mana-mana pihak. Baik peminat Malaysia atau pun Indonesia, atau di mana sahaja peminat Shima.
Saya hargai sokongan mereka.
“Tiada istilah kalau saya pertahankan peminat di negara seberang kerana saya ada tawaran kerja di sana. Saya boleh bekerja di mana sahaja yang boleh terima bakat seni saya ini.
“Tak kisahlah di mana-mana pun. Sebagai artis, saya tak pernah nak beza-bezakan: Siapa yang boleh terima saya sebagai seorang artis dan penghibur, saya tiada masalah,” katanya. – UTUSAN










