Pelajar miskin tinggalkan kolej sambung semula pengajian

Pelajar miskin tinggalkan kolej sambung semula pengajian

AINUN MARDIAH Mat Lazim (kiri) mengemas buku-buku pengajiannya sambil diperhatikan ibunya, Roslindawati Abd. Rahman di rumah sewa mereka di Kampung Bukit Ara, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Penuntut Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang terpaksa meninggalkan pengajian akhir Mac lalu kerana masalah kewangan kini bersemangat dan tidak sabar untuk kembali ke kampus pada 5 Jun ini.

Ainun Mardiah Mat Lazim, 19, yang tinggal di Kampung Bukit Ara, Ajil di sini, berkata, pelbagai pihak tampil membantu setelah kisahnya tular dalam media sosial selepas kehadiran pihak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke rumahnya, baru-baru ini.

Menurut penuntut semester tiga Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak itu, dia tidak menyangka dapat kembali belajar di kolej setelah membuat keputusan meninggalkan pengajian tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej kerana masalah kewangan.

Katanya, dia akan kembali ke asrama kolej itu di bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun dekat sini, pada 5 Jun ini bagi menduduki peperiksaan bermula 6 hingga 15 Jun depan.

“Sebelum ini saya terpaksa ikat perut makan sekali sehari kerana ketiadaan wang, hendak minta bantuan orang lain saya malu sehinggalah akhirnya saya terpaksa ambil keputusan meninggalkan pengajian pada 29 Mac lalu.

“Selepas ini, saya tidak perlu fikirkan lagi soal perbelanjaan seperti yuran pengajian dan makan minum kerana dibiayai oleh GPMS dan Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said.

“Sebagai persediaan, saya kini ulang kaji pembelajaran di rumah dan turut harapkan bantuan kawan-kawan kerana telah ketinggalan untuk ikuti pengajian hampir dua bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Ainun Mardiah memberitahu, dia gagal mendapat pinjaman pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum ini kerana kesilapannya mengisi borang permohonan tersebut secara dalam talian.

Sementara itu, ibunya, Roslindawati Abd. Rahman, 45, berkata, dia dan suaminya, Mat Lazim Jusoh, 50, syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu sehingga membolehkan anaknya kembali meneruskan pengajian.

“Ainun Mardiah satu-satunya harapan kami kerana dia anak tunggal, namun tidak dapat meneruskan pengajian kerana ketiadaan wang belanja harian untuk makan dan minum. Malah yuran pengajiannya juga tertunggak kira-kira RM6,000.

“Sebelum ini suami bekerja sebagai mekanik di Kemaman dengan pendapatan hampir RM2,000 sebulan dan kini cuma bekerja sendiri dengan melakukan kerja-kerja kampung selepas berhenti kerja awal tahun ini untuk pulang ke kampung.

“Saya pula cuma surirumah sepenuh masa dan tidak dapat bekerja kerana menghidap asma serta penyakit saraf. Kami tiga beranak tinggal di rumah sewa ini sejak 12 tahun lalu dengan bayaran sewa RM50 sebulan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.