Muzawwir muda bimbing jemaah

Muzawwir muda bimbing jemaah

LUQMAN Zailani memberi penerangan mengenai Masjid Quba kepada para jemaah haji Malaysia di Madinah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Musim haji memberi peluang kepada pelajar Malaysia di Mekah dan Madinah menambah pendapatan mereka.

Bagi pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah dan Ummul Qura di Mekah, khidmat mereka selaku muzawwir dan mutawwif menjadi pelengkap operasi Tabung Haji (TH) dan agensi pelancongan umrah kerana mempunyai kemahiran berbahasa Arab dan ilmu mengenai lokasi bersejarah.

Kepetahan mereka memberikan penerangan mengenai sesuatu tempat dengan disulam dengan sejarah dan hadis membuatkan jemaah berasa teruja untuk mendengar kisah-kisah yang diceritakan terutama mengenai dakwah Rasulullah SAW.

PEMBANTU

Timbalan Presiden Pelajar Malaysia Madinah, Ukail Ahmad Sanif, 26, berkata, seramai 60 pelajar dan 14 pembantu terlibat pada tahun ini yang mana mereka dibahagikan dalam fasa 1 dan 2 iaitu sebelum dan selepas musim haji.

Katanya, program dakwah dan ziarah dibuat secara tahunan di mana pelajar Malaysia Madinah berkolaborasi dengan TH untuk menjayakan hasrat tersebut.

“Tugas muzawwir ialah memberi penerangan kepada jemaah bermula daripada mereka menaiki bas dari hotel sehinggalah kepada tempat yang hendak dituju iaitu Masjid Quba, ladang kurma Majed, Masjid Qiblatain dan Masjid Khandak atau Masjid Tujuh.

“Ia juga memberi peluang kami berkhidmat kepada jemaah Malaysia di samping mengasah kemahiran bercakap di depan khalayak untuk mengajar selepas tamat pengajian kelak,” kata pelajar jurusan Syariah Universiti Madinah itu.

Menurut Ukail, mereka mewarisi tugasan itu daripada pelajar senior yang turut berbuat demikian bagi menampung sebahagian perbelanjaan sepanjang berada di sini.

Tambahnya, khidmat mereka sentiasa diperlukan kerana hubungan yang lebih rapat dan selesa antara jemaah terutama penggunaan bahasa Melayu yang sudah difahami.

Muzawwir dari universiti sama, Luqman Zailani, 28, berkata, dia menjadi pembimbing jemaah haji dan umrah sejak tahun lalu melalui pelajar senior yang menawarkannya tugasan tersebut.

“Biasanya kita akan memberitahu mengenai sejarah ringkas dan menjawab persoalan berkaitan tempat-tempat bersejarah seperti masjid, telaga ghars, iziq, Masjid al-Dirar dan lain-lain,” katanya yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.

Pelajar jurusan Syariah itu turut mengatakan dia teruja berkhidmat kepada jemaah Malaysia kerana ia ibarat mengubati kerinduan kepada kampung halamannya.

Seorang lagi pelajar, Mohammad Taufiq Yusoff, 26, berkata, dia teruja untuk berkongsi ilmu dengan jemaah mengenai tempat-tempat bersejarah memandangkan ini merupakan kali pertama dia menjadi muzawwir.

“Bayaran 200 riyal bagi setiap trip membolehkan kami menampung kos sara hidup di sini. Setiap muzawir akan mendapat hampir 12 trip mengikut kepada kesesuaian masa dan keadaan,” katanya yang berasal dari Bukit Payung, Marang, Terengganu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN