Menara telekomunikasi siap dibina di KOA Kuala Boh, Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Menara telekomunikasi siap dibina di KOA Kuala Boh, Cameron Highlands

FADZLI Mohamad Kamal (tengah) menyaksikan majlis penyerahan menara telekomunikasi di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah menara telekomunikasi siap dibina di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh di Cameron Highlands, dekat sini bagi memberikan kemudahan rangkaian komunikasi dan capaian internet kepada lebih 600 penduduk di situ.

Menara yang dibina oleh syarikat Edotco Group Sdn. Bhd. tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkhidmatan internet dan 4G yang tidak memuaskan di KOA Kuala Boh mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa lawatan Seri Paduka ke kampung itu, Januari lalu.

“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, maka pada hari ini kita menyaksikan sebuah menara telekomunikasi siap dibina di KOA Kuala Boh.

“Saya pada hari ini menyaksikan majlis penyerahan menara tersebut daripada pihak Edotco kepada CelcomDigi Berhad iaitu syarikat yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja selanjutnya yang merangkumi pemasangan peralatan elektronik, penyambungan gentian optik dan bekalan tenaga elektrik, sehinggalah kepada pengaktifan perkhidmatan 4G.

“Terima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang memberikan komitmen menyegerakan pembinaan menara ini semasa mesyuarat penyelarasan yang saya pengerusikan pada 7 Februari lalu di Cameron Highlands, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Koridor Utiliti Pahang (KUP), Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands, pihak industri dan lain-lain pihak yang terlibat.

“Terima kasih juga kepada pihak MEASAT yang menyediakan perkhidmatan 4G secara interim menggunakan teknologi satelit di KOA Kuala Boh bagi menampung keperluan perkhidmatan internet para penduduk sehingga menara ini siap beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, pembinaan pantas menara telekomunikasi KOA Kuala Boh wajar menjadi contoh serta ikutan untuk tapak menara lain di negeri ini yang giat dilaksanakan ketika ini.

“Sehingga kini, daripada 270 menara baharu yang sedang dilaksanakan di Pahang di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), 53 menara siap dan beroperasi sepenuhnya.

“Sebanyak 217 menara lagi kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, yang dijangka akan siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya