Lombong haram nadir bumi: Kerajaan NS tidak tolak penglibatan pihak luar negara - Utusan Malaysia

Lombong haram nadir bumi: Kerajaan NS tidak tolak penglibatan pihak luar negara

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan pihak dari luar negara dalam aktiviti perlombongan haram nadir bumi di negeri ini yang terbongkar minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemungkinan tersebut berdasarkan pemerhatian terhadap kepakaran yang digunakan dalam aktiviti perlombongan haram tersebut iaitu di Seri Menanti, Kuala Pilah dan Titi di Jelebu.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan bagi mengenal pasti pelaku sebenar aktiviti berkenaan.

“Bukan rakyat tempatan sahaja terlibat juga warganegara asing, ia sedang disiasat. Mungkin orang luar kerana ada kepakaran tertentu (digunakan) itu mungkin dan kita jaga dengar dari maklumat diperoleh, mungkin tidak tepat, tetapi jika betul, ia harus diberikan perhatian serius.

“Kita tidak pernah, kita tiada kepakaran tentang cari gali tersebut, itu memerlukan latihan dan kepakaran yang baik, perlukan ahli-ahli geologi bagi memastikan hasilnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Minggu lalu, kerajaan Negeri Sembilan mendedahkan satu aktiviti perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah.

Susulan penemuan tersebut, siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan.

Hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.

Kemudian, satu lagi aktiviti yang sama dikesan dan kali ini di sebidang tanah pertanian di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu.

Aminuddin dalam pada itu berharap supaya siasatan dapat diteruskan supaya pelaku aktiviti tersebut dapat diambil tindakan undang-undang dengan kadar segera.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya