LANGKAWI: Persembahan jet pejuang Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa dinanti-nantikan penduduk pulau ini yang mahu menyaksikan kehebatan anak tempatan Langkawi mempamerkan kemampuan mengendalikan pesawat tersebut.
Leftenan Kolonel Mohd. Norazan Othman, 44, merupakan anak kelahiran pulau legenda itu.
Mohd. Norazan yang menggunakan gelaran Sting sebagai call sign dalam TUDM berkata, beliau mengambil masa selama sebulan untuk melakukan latihan aerobatik.
Menurutnya, kebanyakan pasukan aerobatik lain berbeza dengan TUDM kerana mereka adalah juruterbang yang sentiasa bersedia untuk tugasan operasi.
“Tapi dalam masa yang sama diberi tanggungjawab daripada pihak TUDM untuk melakukan aksi aerobatik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2023 (LIMA23), jadi kita kena tukar minda daripada juruterbang yang bersedia keluar operasi kepada juruterbang persembahan.
“Kita perlukan kira-kira sebulan untuk berlatih terbang setiap hari bagi melihat aksi apa yang nak dibuat, jadi kami perlu fokus kepada latihan untuk kita berikan aksi-aksi yang terbaik semasa LIMA,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, semalam.
Tambah Mohd. Norazan, beliau mendapat inspirasi untuk menentukan aksi yang akan dibuat dengan meletakkan dirinya sebagai penonton yang berada di darat.
Selain itu, beliau memberitahu, juruterbang yang melakukan aksi aerobatik semasa LIMA23 juga akan mendengar pandangan daripada juruterbang aksi atau juruterbang aerobatik pesawat Sukhoi sebelum ini. – UTUSAN










