LANGKAWI: Edisi ke-16 Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA23) kali ini dianggap terbesar dalam sejarah penganjurannya apabila disertai 525 syarikat industri pertahanan dan komersial tempatan.
Sebanyak 119 pesawat dan 40 kapal terdiri daripada aset ketenteraan dan komersial bakal ditayangkan sepanjang LIMA23 dengan penyertaan melibatkan 18 negara seperti Amerika Syarikat (AS), Russia, China, United Kingdom (UK), Perancis, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India dan Indonesia.
LIMA23 menjadi pameran paling dinanti-nantikan, apatah lagi sudah empat tahun Langkawi tidak ‘dihurung’ pelbagai jenis pesawat dan aset ketenteraan tercanggih ekoran acara dwi tahunan itu terpaksa dibatalkan pada 2021 akibat Covid-19.
Malah, dalam tempoh itu juga ruang udara Langkawi hanya diselangi bunyi pesawat komersial yang berlepas atau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
Penganjuran semula acara berprestij itu secara tidak langsung meletakkan LIMA yang satu-satunya menggabungkan segmen aeroangkasa dan maritim kembali ke dalam kalendar pameran pertahanan dunia.
LIMA kali ini turut disertai Kementerian Pengangkutan untuk kali kedua selepas edisi 2019 bagi sektor komersial.
Penyertaan 525 syarikat industri pertahanan dan komersial tempatan serta antarabangsa pada pameran bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia itu menjadikan penganjuran terbesar dalam sejarah sejak 1991.
Keluasan 20,000 meter persegi Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat yang menjadi lokasi utama itu bersedia menerima sehingga 45,000 pelawat perdagangan.
Malah, acara yang turut menjadikan Resort World Langkawi (RWL) sebagai lokasi bagi segmen maritim turut menyasarkan kehadiran 250,000 pengunjung awam sepanjang pameran berlangsung. – UTUSAN










