PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas kira-kira 25,000 liter bahan api dipercayai diesel dalam serbuan di sebuah stor di sekitar Serdang, kelmarin.
Serbuan Op Tiris kira-kira pukul 5 pagi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu melalui aduan orang awam bahawa terdapat aktiviti mencurigakan dipercayai penyelewengan bahan api bersubsidi.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, semasa serbuan dilakukan, pihaknya mendapati dua individu berada dalam stor berkenaan dipercayai sedang memindahkan bahan api daripada sebuah lori tangki yang lengkap dengan hos penyambung.
Katanya, bahan api itu bersedia untuk disedut keluar serta dimasukkan ke dalam tangki yang berada di dalam stor tersebut.
“Susulan itu, kita menahan kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 52 dan 43 tahun untuk siasatan dan keperluan rakaman percakapan.
“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai urus niaga jual beli melibatkan bahan api yang dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zuhairi, dalam serbuan itu, pihaknya menyita sebuah lori tangki berisi 11,000 liter diesel selain dua tangki masing-masing berisi 10,000 liter dan 4,000 liter bahan api tersebut.
Jelasnya, nilai sitaan diesel dianggarkan bernilai RM53,000 manakala jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM300,000.
“Kesemua barang yang dirampas disimpan dan dikawal rapi di bawah Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Selangor.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Seksyen 21, AKB 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah dengan niat untuk melakukan kesalahan dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana berurusan barang kawalan berjadual tanpa lesen,” ujarnya.
Beliau menegaskan KPDN Selangor akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi.-UTUSAN