Kes jenayah tiada had masa, pelaku tidak akan terlepas

Kes jenayah tiada had masa, pelaku tidak akan terlepas

ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes jenayah yang berlaku sekitar 20-30 tahun lalu tidak akan terlepas daripada pendakwaan mahkamah sekiranya terdapat bukti atau kete­rangan baharu selepas disiasat semula.

Hal ini kerana kes jenayah, tidak ada had masa untuk siasatan dan pendakwaan.

Siasatan kes lama itu bukan satu perkara baharu kerana sudah banyak pendakwaan dibuat dan terbaharu kes penyelewe­ngan dana SRC International dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan ia didakwa dilakukan sekitar 10 tahun lalu.

BUKTI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman memberitahu, tiada had tempoh luput untuk menyiasat dan mendakwa membabitkan kes-kes jenayah jika Jabatan Peguam Negara merasakan cukup bukti untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, kata beliau, perkara itu bergantung kepada beban pembuktian yang bakal dilengkapkan oleh pihak berkuasa untuk menyiasat sesuatu kes.

“Hanya kes-kes sivil mempunyai tempoh had iaitu antara enam tahun, manakala kes jenayah pula tiada had tempoh dan boleh dilakukan siasatan dan pendakwaan meskipun sudah 20 atau 30 tahun berlaku.

“Namun ia terserah kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berbuat demikian jika mereka merasakan ada elemen jenayah salah laku terhadap perbuatan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, beberapa kertas siasatan telah dibuka SPRM ke atas seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara yang bernilai lebih RM2.3 bilion.

Tindakan berkenaan yang berlaku pada 1990-an didakwa memberi kesan buruk kepada negara sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi.

Kertas siasatan itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

ELEMEN

Ketika ditanya beban pembuktian, Abu Talib menjelaskan perkara itu bergantung kepada sejauh mana siasatan yang dilakukan pihak berkuasa untuk menemukan wujud elemen jenayah terhadap perbuatan dilakukan meskipun saksi sudah meninggal dunia.

Katanya, Akta Keterangan 1950 meluas kerana beban pembuktian bukan bersandarkan kepada keterangan saksi semata-mata sebaliknya merangkumi perkara lain termasuk dokumen.

“Bagaimanapun, segala-gala­nya terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan pendakwaan sama ada perlu atau tidak selepas meneliti hasil kertas siasatan yang dilakukan polis atau SPRM.

“Sama ada saksi sudah tiada itu soal kedua, tetapi ia bergantung kepada beban pembuktian yang terdapat pada hasil siasatan kelak nanti,” katanya.

Pada masa sama, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, meskipun berdepan kekangan untuk melengkapkan siasatan termasuk saksi melarikan diri, namun tidak bermakna suspek boleh melepaskan diri.

Beliau menjelaskan, terdapat beban pembuktian lain boleh menyokong siasatan sekali pun tidak sampai 100 peratus dan hanya menentukan seseorang itu bersalah atau tidak.

“Walaupun ketika pihak berkuasa melakukan siasatan, terdapat kekangan lain seperti saksi lari, sudah meninggal dan sebagainya, tetapi ada bukti untuk mengukuhkan keterangan pendakwaan.

“Misalnya kes dihadapi Najib, ada saksi melarikan diri atau hilang ke luar negara tetapi beliau tetap berdepan pendakwaan dan seterusnya dijatuhkan hukuman,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN