Kemas sedia tutup tabika, taska jika suhu cecah 40 darjah celcius

Kemas sedia tutup tabika, taska jika suhu cecah 40 darjah Celcius

Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi (dua dari kiri) bersama Yusri memotong kek hari pendidik sebagai gimik perasmian Program Jom Masuk Kampung di Kampung Kubang Telaga, Bachok, Kelantan, hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sedia mengambil langkah drastik dengan menutup semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sekiranya cuaca panas di negara ini mencecah 40 darjah Celcius

Ketua Pengarahnya Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi berkata, panduan itu terkandung dalam surat arahan pentadbiran yang dikeluarkan pada April lalu sebagai langkah waspada menghadapi kepanasan melampau yang boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya kes kelesuan haba.

“Pada masa sama, Kemas melalui Tabika dan Taska turut mengadakan perbincangan dengan pihak ibu bapa berkait dengan tindakan drastik yang boleh diambil jika keadaan cuaca bertambah teruk. Ibu bapa juga boleh mengemukakan cadangan yang terbaik demi kesihatan kanak-kanak masing-masing.

“Dibawah selian Kemas, kita mempunyai 10,800 kelas Tabika dan 550 kelas Taska yang melibatkan 218,000 seramai kanak-kanak. Untuk makluman kita (Kemas) mengambil serius perkara ini dengan memberi perhatian khusus menerusi laporan dan pemantauan pendidik serta pembantu yang bertugas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jom Masuk Kampung dan keraian Hari Pendidik peringkat Kelantan di Dataran KRT Kubang Telaga, di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Presiden Wawasan Bachok Gemilang, Datuk Yusri Che Noh.

Ahmad memberitahu, ibu bapa turut diberi kelonggaran untuk tidak menghantar anak masing-masing ke Tabika atau Taska jika suhu mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius dengan syarat memaklumkan terlebih dahulu kepada tenaga pengajar bagi dipanjangkan kepada pihak atasan.

Katanya, Kemas turut mengeluarkan arahan supaya tidak mengadakan aktiviti luar sepanjang musim ini bagi mengelak kanak-kanak terdedah kepada suhu panas.

“Tidak dinafikan kebanyakan premis Tabika dan Taska tidak mempunyai kemudahan pendingin hawa dan hanya menggunakan kipas siling.

“Arahan semua tingkap dibuka telah dikeluarkan bagi memastikan pengudaraan yang baik dan kanak-kanak dapat belajar dengan selesa,” ujarnya.

Ahmad berkata, pendidik dan pembantu Kemas terutama di Kelantan dan Johor paling banyak menghantar laporan harian berkait keadaan semasa dan peningkatan suhu serta permintaan ibu bapa ke ibu pejabat untuk makluman pihak pengurusan.

Katanya, setakat ini situasi dikategorikan masih selamat dan belum ada laporan yang membabitkan kes kelesuan haba yang berlaku di Tabika dan Taska seluruh negara.UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya