KUANTAN: “Perancangan hari ini, kami nak buat jamuan hari raya di kedai… Mana-mana pelangan datang akan dijamu nasi minyak dan nasi dagang, tapi hasrat tak kesampaian semua bahan-bahan yang dah disediakan hangus terbakar.”
Demikian ujar anak pemilik kedai Nasi Minyak Eda Yassin, Abdul Muhaimin Abdul Halim, 29, ketika ditemui di premis perniagaan Lorong Tanjung Api 12, Kampung Tanjung Api, di sini.
Premis makanan turun-temurun itu musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 7.23 malam, semalam.
Kejadian itu turut membabitkan tiga buah premis lain termasuk sebuah kedai dua tingkat yang turut musnah sepenuhnya.
Abdul Muhaimin berkata, keluarganya sudah lama merancang mengadakan jamuan hari raya tersebut.
“Kalau ikutkan hari ini kami hendak buat jamuan hari raya, jadi pelanggan datang mereka boleh makan sahaja tak perlu bayar, itu niat kita orang tapi tak sempat.
“Semua keperluan untuk memasak menu nasi minyak dan dan nasi dagang untuk jamuan itu sudah pun disiapkan tetapi semuanya musnah terbakar.
“Ketika kejadian saya cuba nak masuk selamatkan barang-barang berharga tetapi api sangat marak jadi saya tidak mampu buat apa-apa dan hanya mampu menangis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemilik kedai makan Eda Yasin Nasi Minyak Warisan, Rosleda Yassin, 50, berkata, kejadian itu menyebabkan kedai makan yang bercantum dengan rumah ibunya musnah keseluruhannya.
Katanya, dirinya tidak dapat menahan sebak setiap kali melihatkan keadaan kedai peninggalan arwah bapanya itu dan kini didiami ibu, anak sedara dan pekerja malah menjadi tempat mereka sekeluarga berehat.
“Ketika kejadian saya dalam perjalanan dari Gambang, di sini, untuk pulang selepas menjemput ibu daripada pondok agama sebelum menerima panggilan telefon daripada pekerja yang memaklumkan kejadian itu.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran…namun bersyukur juga kerana semua pekerja selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Bermula dengan asap daripada bahagian rumah yang bercantum dengan kedai makan tapi api terlalu cepat marak sampai tak sempat nak selamatkan barang-barang,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosleda berkata, semua barang perniagaannya musnah dalam kebakaran itu, kini dia perlu bermula semula dari bawah sama seperti mereka yang baharu memulakan perniagaan.
“Arwah ayah memulakan perniagaan kedai makan ini kira-kira 30 tahun lalu sebelum saya mewarisinya kira-kira 15 tahun lalu.
“Semuanya telah musnah, namun saya perlu bangkit semula memandangkan ini merupakan punca utama pendapatan keluarga dan tanggungjawan pun besar.
“Walaupun rasa sedih tetapi bila melihat papan tanda kedai masih utuh Dan tak musnah membuatkan Saya Rasa perlu bangkit Dan menunjukkan perniagaan ini belum musnah lagi,” katanya. -UTUSAN