PETALING JAYA: Kapal-kapal kontena yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan di tengah laut dipercayai sengaja mematikan sistem pengesanan automatik (AIS) supaya kedudukan mereka ‘hilang’ ketika memindahkan barang seludup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Komander Pasukan Polis Marin, Senior Asisten Komisioner Norzaid Mohammad Said berkata, berdasarkan risikan dan operasi dijalankan, kapal besar dari negara jiran itu didapati mengeksploitasi garisan sempadan maritim negara bagi memudahkan aktiviti penyeludupan dan pemindahan barang dilakukan tanpa dikesan dan ditahan pihak berkuasa.
Katanya, transaksi pengagihan rokok seludup ini dilakukan di tengah laut sebelum diagihkan kepada bot ‘transit’ yang akan mengedarkan barang seludup itu ke darat.
“Kebanyakan kapal akan berlegar-legar di sempadan perairan negara sambil menunggu bot transit iaitu bot kecil berkuasa tinggi untuk menyeludup masuk rokok ke Malaysia. Jika dikesan pihak berkuasa, kapal besar ini akan merentasi sempadan negara bagi mengelak ditahan dan diperiksa.
“Selain penyeludupan rokok, kita mendapati kegiatan penyeludupan dadah secara terancang turut menggunakan bot-bot kecil yang berkuasa tinggi untuk menyeludup dadah ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah Norzaid, dadah yang diseludup secara kecil-kecilan dalam anggaran satu hingga tiga kilogram oleh bot kecil berkuasa tinggi akan bertemu dengan anggota sindiket dari negara jiran di sempadan perairan negara.
“Individu itu yang bertindak sebagai kurier dadah dibayar kira-kira RM2,000 hingga RM4,000 untuk satu transaksi.
“Malah, terdapat beberapa kes turut melibatkan segelintir nelayan atau kru kapal berdasarkan kepada risikan dan tangkapan yang telah dibuat oleh pihaknya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi penyeludupan migran dan pendatang asing tanpa izin (PATI), sindiket kini telah menukar modus dengan menurunkan PATI di tengah laut sebelum dibawa ke persisiran pantai menggunakan bot kecil.
“Jika dahulu sindiket menggunakan kapal besar yang memuatkan seramai 80 hingga 100 orang PATI selain terus mendarat di persisiran pantai. Bagaimanapun, ia mudah dikesan agensi penguatkuasaan selainair pasang surut tidak menentu dan tempat mendarat yang terhad sehingga menyukarkan membawa masuk PATI.
“Ini terbukti apabila beberapa kejadian bot karam dan insiden migran mati lemas serta hilang di laut berlaku menyebabkan sindiket terpaksa mengubah modus operandi mereka. Dengan menggunakan bot kecil, risiko dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa lebih rendah,” jelasnya. – UTUSAN










