MELAKA: Penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama Kristian hanya terpakai di Sarawak dan bukan negeri-negeri lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perkara itu sudah dijelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu khusus dalam kes di Sarawak sahaja.
“Ini khusus dalam kes Sarawak, kita kena faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan negeri-negeri. Ia tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor.
Ini hanya khusus dalam kes di Sarawak yang sudah kita kalah awal.
“Kerana di Sarawak memang diputuskan negeri itu sebegitu rupa, kita kena faham dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution,” katanya pada Majlis Aidilfitri Perpaduan Madani, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu.
Menurut notis berkenaan, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, penggunaan kalimah Allah dan empat perkataan lain masih kekal eksklusif milik umat Islam, malah tidak boleh digunakan penganut agama lain untuk ajaran mereka.
Beliau turut mengulangi penghakiman mahkamah tersebut yang merujuk kes itu lebih kepada perihal arahan pentadbiran berhubung rampasan bahan penerbitan semata-mata.
“Jika dibaca balik alasan hakim, dia cuma sentuh isu bahan dirampas oleh pihak kastam adalah salah dan bukan pun isu kalimah Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang anjuran Jabatan Imigresen Malaysia 2022 di Putrajaya, semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, ramai mungkin salah faham dengan alasan penghakiman yang merujuk tuntutan seorang wanita terhadap rampasan bahan sahaja.
“Mahkamah itu melalui penghakimannya setebal 90 muka itu memang tidak memutuskan berkaitan agama secara spesifik dan cuma lebih kepada soal perundangan sivil,” jelasnya.
Keputusan mahkamah turut diperhalusi KDN yang mendapati alasan kekalahan kerajaan disebabkan ada percanggahan dengan keputusan Kabinet yang dibuat pada 19 Mei 1986.
Ia ujarnya, berbeza daripada Arahan Pentadbiran KDN yang dikeluarkan pada 5 Disember 1986 dan kes itu juga konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014.
Justeru kata beliau, belajar daripada penghakiman itu, KDN akan mengemas kini arahan lama tersebut agar selari balik keputusan Kabinet yang sudah diputuskan 37 tahun lepas.
Langkah itu juga akan memastikan Arahan Pentadbiran yang bakal diguna pakai semua badan penguatkuasaan kelak selaras peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sambil memberi jaminan umat Islam tidak perlu risau dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan itu, Saifuddin Nasution berkata, KDN konsisten melindungi agama tersebut.
“Pendirian kami tetap memperakui ketetapan enakmen Islam setiap negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu agar dasar sedia ada terus kekal,” tegas beliau.
Malahan ujarnya, KDN komited mempertahankan kepentingan Islam, orang Melayu institusi beraja termasuk kalimah Allah yang sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau optimis, arahan pentadbiran yang baharu bakal memastikan bukan Islam tidak boleh menyalahgunakan sebarang syiar Islam dalam penerbitan mereka. – UTUSAN










