MADINAH: Kumpulan pertama seramai 284 jemaah haji Malaysia tiba di sini semalam selepas menempuh perjalanan selama sembilan jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka disambut Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin.
Sebanyak 102 penerbangan membawa 31,600 bakal haji Malaysia akan bertolak secara berperingkat sama ada ke Madinah atau Mekah dengan penerbangan terakhir pada 21 Jun.
Selain Saja Al Madinah, mereka juga akan menginap di Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel.
Kesemua hotel bertaraf lima bintang itu terletak 50 hingga 200 meter dari Masjid Nabawi.
Setiap kumpulan jemaah akan berada selama enam hari di kota suci itu sebelum bertolak ke Mekah yang jaraknya kira-kira 450 kilometer dari sini.
Sepanjang di Madinah, pelbagai aktiviti diatur antaranya menziarahi makam Nabi Muhammad SAW, memasuki raudah di Masjid Nabawi serta ziarah tempat bersejarah.
Selain itu, lawatan ke ladang kurma, Masjid Quba, program ziarah perkuburan Baqi dan makam syuhada Uhud.
Sebelum ini, Ashrof memaklumkan seramai 150 petugas kebajikan dan perubatan Tabung Haji telah bersedia menyambut ketibaan dan menyantuni tetamu Allah itu.
Sebanyak 45 kumpulan WhatsApp telah diwujudkan sebagai medium penyaluran maklumat berkaitan program dan aktiviti jemaah di sini.
Beberapa perkhidmatan lain turut disediakan antaranya kaunter perubatan, kaunseling dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas).
Sementara itu, Wan Zaidi berkata, sistem Mecca Route yang dilancarkan kerajaan Arab Saudi telah melancarkan pergerakan jemaah haji.
Katanya, tempoh pergerakan keluar jemaah dari pemeriksaan di lapangan terbang dapat dijimatkan sehingga empat jam.
“Sebelum ini jemaah perlu berada di lapangan terbang sehingga empat hingga lima jam untuk ambil bagasi, cap jari dan pemeriksaan visa.
“Tetapi selepas Mecca Route diperkenalkan, ia banyak memudahkan pergerakan keluar jemaah dan tidak menjejaskan emosi jemaah kerana perlu menunggu lama,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. – UTUSAN










